AM > BERITA

Kepimpinan Malaysia Dalam ASEAN Patut Disokong, Bukan Diperkecil

06/02/2025 12:17 PM

Oleh Wong Chun Wai

KUALA LUMPUR, 6 Feb (BERNAMA) -- Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat di semua peringkat yang melibatkan negara-negara anggota ASEAN sepanjang tahun ini.

Jadi, adalah tidak adil bagi sesiapa untuk menolak kepimpinan Malaysia dengan mendakwa bahawa harapan terhadap Malaysia menjadi peneraju ASEAN pada 2025 ini “mungkin sukar dipenuhi” dan bahawa kepengerusian ini “berisiko untuk terlalu berkisar kepada Anwar, dan bukan sekadar kepada ASEAN.”

Masih ada tempoh setahun, jadi janganlah terlalu cepat membuat penilaian menggunakan sedikit hujah yang kukuh namun penuh dengan prejudis.

Namun, itulah mukadimah satu artikel yang ditulis ahli sains politik Bridget Welsh bertajuk “Malaysia’s Asean chairmanship is off to a disappointing start,” yang baru-baru ini diterbitkan oleh Jakarta Post.

Anggapan beliau itu adalah berdasarkan kepada mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang berlangsung di Langkawi bulan lepas, yang beliau dakwa tidak membawa sebarang isu penting, yang dakwaan itu tentunya suatu kesimpulan tidak matang.

Mari kita lihat secara mendalam kepada pencalonan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN. Kita mempunyai pengalaman, keseimbangan diplomatik, kepimpinan ekonomi dan komitmen terbukti terhadap kestabilan serantau.

Malaysia adalah antara pengasas ASEAN dan telah beberapa kali memegang jawatan pengerusi, dengan kali terakhir pada tahun 2015. Malaysia telah memainkan peranan penting dalam penubuhan Komuniti ASEAN, yang kekal utuh sehingga kini.

Malaysia juga mempunyai rekod kepimpinan yang berkesan dan berjaya mengimbangi kepentingan serantau dengan kuasa global seperti Amerika Syarikat, China, Kesatuan Eropah dan Jepun.

Kita juga berjaya menangani tuntutan ke atas Kepulauan Laut China Selatan dengan baik tanpa mencetuskan konflik serta menguruskan ketegangan secara matang. Kita harus memberikan kredit kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Wisma Putra atas usaha ini.

Malaysia terus komited terhadap keselamatan dan kestabilan serantau, terutamanya dalam menangani isu keganasan, keselamatan siber, dan keselamatan maritim rantau ASEAN.

Selaku pengerusi ASEAN, Malaysia tentunya faham mengenai kepentingan dan impak ekonomi penipuan global yang beroperasi di Myanmar, Kemboja, dan Laos. Malah, lebih daripada 500 rakyat Malaysia telah diselamatkan daripada pusat penipuan sejak 2022.

Isu Myanmar adalah cabaran terbesar bagi ASEAN. Sebab itulah, kerajaan telah melantik diplomat berpengalaman Tan Sri Othman Hashim sebagai Duta Khas ke Myanmar.

Ini tentunya suatu tugas sukar, kerana tanggungjawab beliau termasuklah berurusan dengan pelbagai kumpulan bersenjata yang berpengaruh dan dikuasai warlords di Myanmar.

Beliau perlu membawa pulang rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan, selain mencari jalan untuk menamatkan keganasan yang dilakukan oleh junta tentera terhadap penduduk tempatan.

Adalah naif untuk menganggap bahawa Malaysia atau ASEAN, tidak mengambil serius isu ini.

Malaysia secara sendirian tidak boleh menyelesaikan masalah Myanmar dan memerlukan sokongan terutamanya Thailand, yang berkongsi sempadan dengan negara itu dan juga anggota ASEAN.

Adalah mudah untuk mengkritik pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra selaku penasihat tidak rasmi Anwar dalam mempengerusikan ASEAN. Namun, tiada siapa boleh menafikan pemahaman mendalam pemimpin Thailand itu terhadap rantau ini, termasuk isu kompleks di Myanmar.

Kita bercakap mengenai seorang tokoh berpengaruh dengan hubungan meluas dalam kalangan pemimpin serantau dan global dan peranannya di balik tabir, pasti dapat membantu Malaysia sebagai pengerusi ASEAN.

Kredit juga perlu diberikan kepada Anwar atas kesediaan beliau berhubung dengan tokoh-tokoh lama seperti Thaksin dan bekas Menteri Luar Singapura George Yeo. Oleh kerana mereka tidak lagi memegang jawatan rasmi, mereka berada dalam kedudukan lebih baik untuk memberikan nasihat tanpa sebarang kekangan.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, mempunyai rekod untuk kurang berminat terhadap ASEAN, dan tidak pasti sama ada beliau akan hadir ke sidang kemuncak yang dijadualkan pada Oktober ini. Namun, pengaruhnya tetap besar.

Dasar-dasarnya memberikan impak besar kepada dunia, termasuk ASEAN dan Malaysia.

Pada ketika Welsh bersikap kritikal terhadap Malaysia, beliau tidak menyatakan bahawa buat kali pertama ASEAN akan mengadakan sidang kemuncak dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China pada Mei.

Negara GCC terdiri daripada Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi, dan Emiriah Arab Bersatu. Syabas kepada Wisma Putra kerana berjaya merealisasikan perkara ini.

Dan mengapakah Anwar perlu menjadi isu, hanya jika media memberi tumpuan kepadanya sebagai tokoh serantau dan negarawan berpengalaman dengan kepakaran diplomatik serta pentadbiran?

Selain Tun Dr Mahathir Mohamad yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, tiada antara penggantinya yang mampu menyaingi kedudukan itu. Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pula, menarik perhatian dunia atas sebab yang tidak sepatutnya.

Jadi, jika PMX (Anwar Ibrahim) mampu mengangkat nama Malaysia ke pentas dunia atas sebab positif, mengapa beliau harus dituduh mencari perhatian antarabangsa? Media antarabangsa tidak akan memberikan liputan sekiranya beliau tidak mempunyai nilai berita yang penting.

Sebagai contoh fokus Anwar terhadap pembaharuan ekonomi di Malaysia, boleh diterjemahkan kepada dasar yang mengukuhkan hubungan ekonomi dan perdagangan dalam ASEAN.

Kemahiran diplomatiknya juga dapat membantu ASEAN mengekalkan kedudukan berkecuali dan keseimbangan strategik – sesuatu yang sering beliau tekankan.

Lebih penting lagi, kepimpinannya sebagai pengerusi ASEAN boleh memperkukuh kedudukan ASEAN di peringkat global, dengan jumlah penduduk seramai 670 juta dan jumlah KDNK seluruh negara ASEAN bernilai USD3.67 trilion, pada ketika mengekalkan keharmonian serantau.

Jadi, mari kita bersama-sama menyokong Malaysia menjadi pengerusi ASEAN yang berkesan, dan membenarkan mana-mana pihak menarik kita ke bawah.

-- BERNAMA

 

* Penulis, Datuk Seri Wong Chun Wai, mempunyai pengalaman lebih 40 tahun sebagai wartawan dan merupakan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Bernama.



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan