MELAKA, 6 Feb (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan dan negeri memperuntukkan sejumlah RM135.413 juta pada tahun lepas bagi menyalurkan bantuan kepada penerima di negeri ini di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Melaka.
Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Nordin berkata jumlah itu meliputi 28,609 penerima bagi bantuan bulanan sepanjang tahun tersebut.
“Ia termasuk peruntukan RM16.18 juta oleh Kerajaan Negeri Melaka khusus buat rakyat negeri ini, yang meliputi bantuan kewangan bulanan, sumbangan perayaan, bantuan mesra susu orang terlantar dan lampin pakai buang dewasa dengan melibatkan 5,210 penerima.
“Selebihnya adalah daripada kerajaan Persekutuan bagi bantuan seperti elaun pekerja orang kelainan upaya (OKU), penjagaan OKU dan pesakit kronik terlantar, kanak-kanak dan warga emas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu beliau menjadi tetamu dalam segmen Temu Bual Eksklusif Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (W.R.U.R) di konti MELAKA fm, turut hadir Pengarah Jabatan Penyiaran Melaka Siti Norbaini Khairi.
Dalam pada itu beliau berkata bersempena program W.R.U.R di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, 93 program akan diadakan sepanjang dua minggu penganjuran yang bermula 10 Feb ini.
Beliau berkata antaranya pameran, gotong-royong, ceramah agama, kenduri rakyat, ziarah kasih dan program baik pulih tiga buah rumah yang layak terpilih di DUN Pengkalan Batu.
"Tidak ketinggalan pertandingan badminton, sepak takraw dan futsal yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat bagi memastikan semua golongan mendapat manfaatnya.
"Sepanjang program yang berakhir 23 Feb ini turut mendapat kerjasama daripada pelbagai jabatan dan agensi selain Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Pengkalan Batu," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial