AM > BERITA

Enam Klinik Kesihatan Di Sarawak Jalani Transformasi Digital Tahun Ini - Dzulkefly

06/02/2025 04:42 PM

SIBU, 6 Feb (Bernama) -- Enam klinik kesihatan (KK) di Sarawak antara 100 fasiliti kesihatan di seluruh negara yang akan menjalani transformasi digital tahun ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata kesemuanya terdiri daripada KK Ba’Kelalan, KK Balai (Bakam), KK Bario, KK Batu Danau, KK Pa' Dallih dan KK Paloh.

“Transformasi ini merupakan sebahagian daripada sasaran Kementerian Kesihatan untuk melaksanakan sistem digital di semua fasiliti kesihatan dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang,” katanya pada sidang media semasa lawatan ke Hospital Sibu di sini hari ini.

Dzulkefly berkata transformasi digital itu melibatkan pelaksanaan sistem pengurusan digital berasaskan awan (CCMS) dengan peruntukan berjumlah RM19 juta dan sistem terbabit dijangka mampu mengurangkan tempoh menunggu pesakit di klinik kerajaan dari tiga jam kepada 30 minit.

Penggunaan CCMS itu, katanya turut mampu mengelak rekod atau data perubatan di klinik daripada terjejas akibat bencana seperti banjir, sebagaimana yang berlaku di Klinik Pergigian RTC Bekenu yang ditenggelami banjir.

Dzulkefly berkata pada tahun lepas inisiatif digitalisasi itu telah dilaksanakan di lima KK di Sarawak iaitu KK Sebauh, KK Tatau, KK Bintulu, KK Telaga Air dan KK UTC Kuching.

Selain itu, beliau berkata sebanyak RM7.8 juta peruntukan tambahan telah diluluskan untuk mengatasi masalah kondensasi yang menyebabkan pertumbuhan kulat di wad Hospital Sibu.

“Sebanyak RM1.3 juta turut diluluskan untuk perolehan peralatan perubatan dan kerja-kerja baik pulih hospital berkenaan,” katanya.

Selain Hospital Sibu, Dzulkefly turut melawat KK Jalan Oya, KK Lanang dan KK Sibu Jaya, dengan beliau diberikan taklimat berkaitan situasi banjir serta perancangan jangka panjang pembangunan fasiliti kesihatan di kawasan berkenaan.

Lawatan itu turut disertai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong; Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee serta ADUN Bukit Assek Joseph Chieng Jin Ek.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan