AM > BERITA

PETRA Bakal Lancar Program CREAM, Inisiatif Agregasi Rooftop Solar

07/02/2025 02:28 PM

PUTRAJAYA, 7 Feb (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan memperkenalkan Program Community Renewable Energy Aggregation Mechanism (CREAM) yang membolehkan penggabungan ruang bumbung premis kediaman untuk penjanaan tenaga boleh baharu (TBB) kepada pengguna hijau setempat.

Inisiatif agregasi rooftop solar di kawasan skim perumahan itu akan dilaksanakan berdasarkan konsep akses grid terbuka melalui penyesuaian terhadap mekanisme program Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) yang telah diperkenalkan pada September 2024.

PETRA dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelaksanaan program CREAM akan membolehkan pemilik rumah memajak atau menyewa ruang bumbung premis kediaman mereka kepada pihak ketiga untuk digabungkan dengan ruang bumbung yang lain bagi tujuan pembangunan sistem jana kuasa fotovoltaik solar (PV) untuk menghasilkan bekalan elektrik hijau kepada pengguna hijau setempat.

"Pemaju TBB (boleh) menggabungkan ruang bumbung berdasarkan perundangan pada peringkat Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa sedia ada untuk membangunkan sistem jana kuasa solar dan menjana bekalan elektrik hijau untuk disalurkan kepada pengguna hijau setempat menggunakan sistem pengagihan syarikat utiliti sedia ada.

"Seterusnya syarikat korporat sebagai pengguna hijau boleh mendapatkan bekalan elektrik hijau melalui penjanaan setempat," menurut PETRA.

Garis Panduan bagi pelaksanaan Program CREAM sedang dimuktamadkan dan perincian serta panduan pelaksanaan program itu akan diumumkan Suruhanjaya Tenaga dalam masa terdekat. 

Selepas memperkenalkan program CRESS dan Cross-border Electricity Sales for Renewable Energy (CBES RE) untuk menyokong agenda peralihan tenaga, Program CREAM dijangka mewujudkan nilai tambah serta peluang ekonomi baharu kepada pemain industri dan masyarakat setempat sekali gus menyokong agenda peralihan tenaga negara.

Selain Program CREAM, PETRA juga akan terus menambah baik dan memperkukuh inisiatif dan program TBB sedia ada termasuk menerusi pusingan bidaan baharu di bawah Program Large Scale Solar, iaitu LSS-6 yang akan dibuka seawal suku tahun kedua 2025 bagi meningkatkan lagi kapasiti TBB dalam sistem pembekalan elektrik negara.

"Dan bidaan baharu bagi sistem penstoran tenaga untuk mengukuhkan lagi sistem grid pembekalan elektrik negara akan dibuka selewat-lewatnya pada suku tahun ketiga 2025," menurut kementerian berkenaan.

PETRA dalam pada itu, optimis program CREAM dan pengukuhan TBB dapat membantu mencapai sasaran 70 peratus campuran kapasiti TBB dalam sistem elektrik negara menjelang 2050 serta mengurangkan jejak karbon sektor bekalan elektrik negara

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan