PUTRAJAYA, 7 Feb (Bernama) -- Kerajaan telah melantik tiga syarikat baharu bagi melaksanakan perkhidmatan sebagai Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) fasa pertama, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Mengumumkan perkara itu, Loke berkata syarikat berkenaan ialah Wawasan Bintang Sdn Bhd yang akan beroperasi di Pelabuhan Klang, Selangor, Gua Musang di Kelantan dan Mersing di Johor.
Beliau berkata dua syarikat lagi ialah Pakatan Petroleum Sdn Bhd di Rawang, Selangor dan Temerloh, Pahang serta Beriman Gold Sdn Bhd di Kuching dan Serian, Sarawak.
“Pelantikan ini dibuat selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 17 Mac 2023, yang telah bersetuju untuk membuka perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) kepada syarikat lain yang berkelayakan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Loke berkata kesemua syarikat yang dilantik telah menerima surat tawaran pelantikan dan diberikan tempoh selama dua tahun untuk melengkapkan keperluan infrastruktur.
“Ini termasuk pembangunan premis, perolehan peralatan pemeriksaan serta mendapatkan kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan,” katanya.
Loke berkata sepanjang tempoh pembangunan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjalankan pemantauan berterusan, bagi memastikan syarikat dilantik, mematuhi semua syarat dan standard operasi PPKM yang telah ditetapkan.
Beliau berkata lesen operasi hanya akan diberikan setelah semua syarikat berkenaan mematuhi sepenuhnya keperluan peraturan serta kelengkapan peralatan dan bersedia untuk memulakan operasi.
“Syarikat-syarikat ini akan diberi lesen operasi selama 10 tahun tetapi kena perbaharui setiap tahun. Kalau tidak capai tahap kualiti yang ditetapkan semasa proses audit oleh JPJ, maka lesen mereka akan dibatalkan,” katanya.
Loke berkata audit dijalankan oleh JPJ itu, bertujuan memastikan setiap syarikat mematuhi peraturan keselamatan serta memiliki kemampuan teknikal dan kemahiran mencukupi.
Bagi memperluas perkhidmatan PPKM, beliau berkata kerajaan akan membuka permohonan bagi PPKM fasa kedua bermula 1 Mac hingga 31 Jun ini.
“Syarikat yang tidak berjaya dalam fasa pertama serta mana-mana syarikat lain yang berminat, dipelawa untuk mengemukakan permohonan bagi fasa kedua ini,” katanya dan menambah syarikat tempatan memiliki pengalaman serta kepakaran dalam bidang pemeriksaan kenderaan turut dipelawa memohon.
Loke sebelum ini berkata Kementerian Pengangkutan akan mengumumkan syarikat baharu akan diberi kelulusan untuk membuka PPKM hari ini, susulan keputusan kerajaan memutuskan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), tidak lagi menjadi badan tunggal menawarkan perkhidmatan itu, selepas kerajaan memutuskan tidak menyambung tempoh konsesi Puspakom yang tamat pada 31 Ogos 2024.
Ditanya mengenai status Puspakom, Loke berkata Puspakom tidak ditutup dan masih beroperasi seperti biasa namun perlu bersaing dengan pemain industri yang baharu dilantik itu.
“Semua cawangan mereka yang sedia ada boleh terus beroperasi. Puspakom tidak ditutup cuma kita nak memperkenal operator baharu supaya rakyat ada pilihan dan syarikat ada persaingan (dari segi perkhidmatan),” katanya.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan Puspakom tidak lagi menjadi penyedia tunggal perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor bagi JPJ bermula 1 Sept 2024.
Keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat Kabinet pada 17 Mac 2023 agar perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor dibuka kepada mana-mana pihak yang berkelayakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial