SHAH ALAM, 7 Feb (Bernama) -- Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) telah melaksanakan pelbagai tindakan penguatkuasaan bagi menangani isu pembuangan sampah haram dan penambakan tanah tidak sah di Kampung Sri Sentosa dan Kampung Sri Aman, Ijok, Kuala Selangor, dekat sini.
Yang Dipertua MPKS Mohamad Hanafe Basri dalam kenyataan hari ini berkata kawasan itu mula didiami sejak 2008 melalui proses pelupusan tanah kerajaan yang menyaksikan aktiviti penambakan tanah menggunakan sisa binaan dan sampah domestik semakin berleluasa sehingga menimbulkan pelbagai isu alam sekitar dan keselamatan.
Beliau berkata bagi menangani masalah itu, MPKS telah mengeluarkan amaran lisan serta notis kompaun kepada pihak terlibat dan langkah lebih drastik diambil pada 2016 dengan menutup kawasan pembuangan sampah haram yang diadukan serta mengorek parit bagi menghalang kenderaan memasuki lokasi berkenaan, selain pintu pagar dan pondok haram di laluan masuk turut dirobohkan.
"Walaupun pelbagai tindakan telah diambil, pembuangan sampah haram dan penambakan tanah masih berterusan. Antara cabaran utama termasuk permintaan tinggi pemilik tanah untuk menambak kawasan mereka bagi mengelak banjir, kekangan kewangan penduduk serta kesukaran mengenal pasti pemilik tanah selain pembuangan sampah berlaku di luar waktu pemantauan statik MPKS," katanya.
Kenyataan itu susulan laporan akhbar semalam mengenai tapak pelupusan itu yang dahulunya seluas 20 hektar, kini bertambah kepada lebih 50 hektar yang dikatakan berlaku ekoran aktiviti pelupusan sampah, sisa industri, pembinaan dan domestik oleh pihak tidak bertanggungjawab sehingga mengancam kesihatan penduduk meliputi Kampung Sri Sentosa, Bandar Seri Coalfields, Alam Perdana dan Daunan Worldwide.
Sementara itu, Mohamad Hanafe berkata pembuangan sampah haram dan penambakan tanah yang masih berterusan itu menyaksikan kerajaan negeri mengeluarkan Arahan Pengarah Tanah dan Galian Selangor (PTGS) Bil. 1/2019, antara lain bertujuan menyelaraskan tindakan penguatkuasaan antara agensi bagi memastikan langkah yang lebih teratur dan bersepadu dapat dilaksanakan.
Berikutan itu, beliau berkata MPKS menubuhkan Jawatankuasa Petugas Khas Pengurusan Sampah Haram yang bertanggungjawab menyelaras tindakan antara MPKS, Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor serta agensi penguatkuasaan lain bagi memastikan pengurusan isu pembuangan sampah haram dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
"MPKS telah mengambil tindakan penguatkuasaan secara berterusan sejak 2020 hingga 2025 dengan dalam tempoh itu, 135 kenderaan disita selain 281 kompaun dan 20 notis dikeluarkan,” katanya dan menambah pada 2023 mencatatkan jumlah sitaan tertinggi dengan 34 kenderaan, 75 kompaun dan lapan notis dikeluarkan.
Mohamad Hanafe berkata Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor juga telah mengambil tindakan di bawah Kanun Tanah Negara 1965 dengan mengeluarkan Notis 7A dan 7B kepada pemilik tanah yang dikenal pasti terlibat dalam aktiviti penambakan secara tidak sah.
Beliau berkata bagi memastikan penyelesaian jangka panjang yang lebih berkesan, MPKS merangka beberapa langkah penambaikan, antaranya perjumpaan dengan pemilik tanah untuk meningkatkan kesedaran mereka mengenai kesan dan implikasi undang-undang terhadap aktiviti penambakan haram.
Menurut beliau operasi bersepadu dengan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor juga akan ditingkatkan selain memasang papan tanda larangan dan hebahan awam mengenai tindakan undang-undang dengan langkah tambahan lain yang dipertimbang adalah memberi imbuhan kepada pemberi maklumat sebagai galakan kepada orang awam melaporkan pembuangan sampah haram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial