AM > BERITA

Saingan Semakin Sengit, Malaysia Perlu Terus Perkasa Ekosistem Halal - Ahmad Zahid

08/02/2025 03:08 PM

KUALA LUMPUR, 8 Feb (Bernama) -- Meskipun diiktiraf sebagai peneraju industri halal di peringkat global, Malaysia tidak boleh sekadar berpuas hati dengan pencapaian sedia ada kerana dunia kini berlumba-lumba menguasai pasaran halal, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Pengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Agenda Halal Malaysia berkata negara perlu bergerak lebih pantas, strategik dan inovatif untuk memastikan Malaysia bukan sahaja kekal sebagai pemimpin industri halal dunia, tetapi menjadi pusat rujukan utama dalam semua aspek ekosistem halal global.

“Persaingan semakin sengit apabila lebih banyak negara mula mengambil langkah agresif untuk memperkukuh kedudukan mereka dalam sektor ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid berkata sehingga Disember 2024, indikator bagi industri halal menunjukkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 7.7 peratus pada RM146.6 bilion, manakala nilai industri halal dunia dianggarkan mencecah US$3.1 trilion menjelang 2025.

“Saya telah memimpin usaha merangka strategi baharu yang lebih dinamik dan berkesan untuk melonjakkan jenama halal Malaysia ke tahap lebih tinggi.

“Fokus utama strategi ini adalah untuk meningkatkan daya saing jenama halal Malaysia di peringkat antarabangsa, memanfaatkan potensi pasaran halal global yang terus berkembang,” katanya.

Ahmad Zahid berkata dalam usaha merealisasikan visi itu, enam kluster utama telah dikenal pasti sebagai teras transformasi ekosistem halal Malaysia, termasuk dasar halal negara yang akan dikaji semula dan ditambah baik agar selaras dengan perkembangan global serta memenuhi keperluan lebih 1.9 bilion umat Islam di dunia.

Beliau berkata sistem pensijilan halal akan didigitalisasikan sepenuhnya bagi mempercepat serta mempermudah proses permohonan dengan sasaran mencapai 100 peratus digitalisasi menjelang 2026 dan pada masa sama, mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan akan diperkukuh bagi menjamin kredibiliti pensijilan halal Malaysia.

Selain itu, pelan pembangunan industri halal akan memberi tumpuan kepada sektor bernilai tinggi seperti farmaseutikal halal, logistik halal dan teknologi makanan dengan sektor farmaseutikal halal sahaja dianggarkan bernilai US$134 bilion.

“Bagi memastikan produk halal Malaysia dapat menembusi lebih banyak pasaran antarabangsa, strategi pemasaran baharu akan memanfaatkan platform digital dan e-dagang secara menyeluruh.

“Penganjuran Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) sebagai pameran halal terbesar dunia akan terus dijadikan landasan strategik untuk menarik pelabur dan pembeli global dengan sasaran meningkatkan eksport produk halal Malaysia kepada RM63.1 bilion menjelang 2025, berbanding RM40 bilion pada 2023,” katanya.

Beliau berkata pengurusan bakat dan tenaga kerja halal akan diperkasakan melalui latihan, pensijilan profesional serta peluasan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) halal bagi melahirkan tenaga kerja berdaya saing di peringkat global dengan sasaran 50,000 tenaga kerja halal kompeten menjelang 2030.

Penyelidikan dan pembangunan (R&D) halal pula akan terus diperkukuh dengan kerjasama erat antara institusi akademik dan industri bagi menghasilkan inovasi baharu dalam produk dan perkhidmatan halal serta lebih banyak pusat kecemerlangan halal akan diwujudkan di Malaysia bagi memacu inovasi dan kepakaran teknikal dalam bidang itu.

“Malaysia mesti menerajui transformasi industri halal global dan dengan strategi yang jelas serta kerjasama erat, insya-Allah negara kita akan terus menjadi hab halal unggul yang diyakini dunia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan