AM > BERITA

TEKUN: RM3.6 Juta Sudah Diagih Kepada 143 Usahawan India Dalam Tempoh Dua Minggu - Ramanan

08/02/2025 04:06 PM

KUALA LUMPUR, Feb 8 (Bernama) -- Sebanyak RM3.6 juta daripada RM100 juta peruntukan Tabung Kumpulan Ekonomi Usaha Niaga (TEKUN) Nasional sudah diagihkan kepada 143 usahawan komuniti India, selepas peruntukan itu diumumkan pada 14 Jan lepas, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.

Beliau berkata jumlah yang telah disalurkan itu, diberikan kepada usahawan yang memohon dana TEKUN Nasional melalui program Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) dan SPUMI Goes Big.

“Daripada RM3.6 juta itu, sebanyak RM555,000 diagihkan kepada 14 usahawan melalui program SPUMI Goes Big dan RM 3.061 juta untuk 129 usahawan menerusi inisiatif SPUMI,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagi memastikan peruntukan RM100 juta itu disalurkan dengan terurus dan terancang, Ramanan berkata beliau akan mempengerusikan mesyuarat pemantauan SPUMI dan SPUMI Goes Big setiap bulan, bagi memperkasakan sistem penyampaian pelaksanaan kedua-dua program berkenaan.

Sebelum ini, Ramanan mengumumkan peruntukan RM100 juta kepada TEKUN Nasional menerusi insiaitif SPUMI dan SPUMI Goes Big, yang masing-masing diperuntukkan RM50 juta bagi tujuan memperkasakan dan memperkukuh agenda pemerkasaan ekonomi komuniti India.

Beliau yang juga dipertanggungjawab untuk menjaga hal ehwal komuniti India berkata peruntukan itu dijangka dapat memanfaatkan hampir 5,000 usahawan India tahun ini untuk mengembangkan perniagaan dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar.

Mengulas lanjut, Ramanan berkata usahawan India yang berminat memanfaatkan insiaitif berkenaan boleh mengemukakan permohonan di laman sesawang TEKUN atau berkunjung ke mana-mana pejabat TEKUN berdekatan.

“Di bawah SPUMI, TEKUN akan memberikan pembiayaan dana antara RM1,000 hingga RM50,000 kepada mereka yang layak manakala melalui SPUMI Goes Big, sebanyak RM50,000 hingga RM100,000 dengan tempoh kelulusan kurang daripada 14 hari,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh justeru berharap masyarakat India mengambil peluang itu bagi meningkatkan taraf hidup, sekali gus membolehkan mereka menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara secara signifikan.

Dalam masa sama, beliau turut menyeru usahawan yang mendapat pembiayaan menerusi kedua-dua insiaitif berkenaan supaya membuat pembayaran balik secara teratur bagi membolehkan TEKUN membantu lebih ramai usahawan India pada masa depan.

“Apabila TEKUN menggunakan dana dalaman (untuk melaksanakan inisiatif itu), pembayaran balik mesti dilakukan sebaiknya, jika tidak ia akan menghalang peluang peminjam seterusnya kerana ini dana dalaman bukan dana baharu,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan