KANGAR, 9 Feb (Bernama) -- Pusat Islam Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Ibadan, Nigeria yang dibina hasil pemberian sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada Julai 2024, kini telah siap sepenuhnya dan mula beroperasi pada Jumaat lepas.
MAIPs dalam kenyataan hari ini memaklumkan pusat Islam itu dijangka menjadi pusat utama bagi aktiviti keagamaan dan kebajikan di kawasan berkenaan dengan antara program dirancang ialah dakwah, kursus syariah untuk imam dan pendakwah, program Ramadan dan pengagihan al-Quran.
“Masyarakat setempat menyambut baik kewujudan pusat ini dan berharap ia dapat terus berkembang sebagai pusat penyebaran ajaran Islam yang murni serta menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh ukhuwah Islamiah di kawasan sekitar,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan pusat Islam berkenaan mengadakan solat Jumaat pertama dengan khutbah disampaikan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail (UniSIRAJ) Dr Abdulrasheed Olatunji pada Jumaat lepas.
Pembinaan pusat Islam itu direalisasikan dengan sumbangan RM200,000 daripada MAIPs yang disampaikan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs dengan diiringi anakanda baginda, iaitu Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail pada 27 Julai 2024 di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja, Nigeria.
Sumbangan itu diserahkan kepada Yayasan Amal Al Mawaddah yang berpusat di Ibadan dan diterima oleh Pengerusi Yayasan berkenaan Dr Abdulrasheed Olatunji serta Timbalannya Alhaj Ridwan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial