SHAH ALAM, 9 Feb (Bernama) -- Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menyempurnakan perasmian Taman Kuching Shah Alam di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14 di sini hari ini.
Baginda juga berkenan melancarkan Ikon Oyen sebagai maskot rasmi bagi taman dinamakan Catopia Shah Alam itu, antara lain sebagai simbol pemerkasaan program kesedaran awam terhadap pemilikan haiwan secara bertanggungjawab.
Tengku Permaisuri Norashikin turut meluangkan masa melawat sekitar taman itu dan bermain dengan haiwan berkenaan yang dibuka kepada orang ramai bermula Julai 2024.
Sementara itu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata Catopia Shah Alam merupakan platform MBSA untuk mendidik dan memberikan pendedahan meluas kepada orang ramai terhadap kepentingan kesejahteraan haiwan selain membantu menyemarakkan lagi industri pelancongan di Selangor.
“Dengan konsep kawasan permainan luar bagi kucing peliharaan, taman mini Catopia Shah Alam dilengkapi 12 elemen menarik termasuk tempat perlindungan dan makanan kucing, jambatan gantung, terowong, rumput 'helikopter' (rumput kegemaran kucing), kolam pancuran air dan 10 alat permainan kucing.
“Sejak dibuka pada Julai tahun lepas, Catopia Shah Alam telah dikunjungi lebih 1,500 pengunjung dan hingga kini tiada sebarang bayaran masuk dikenakan kepada pengunjung dari dalam mahupun luar negara,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran.
Mohd Fauzi berkata walaupun baru beroperasi selama lapan bulan, Catopia Shah Alam telah merangkul anugerah Special Mention bagi kategori Placemaking and Public Space Award diikuti Anugerah Emas bagi kategori Best Planning Content in Media Award dalam Majlis Anugerah MIP Planning Excellence Award 2024 baru-baru ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial