AM > BERITA

Mohamed Nazri Telah Jalankan Tugas Sebagai Duta Dengan Baik - Kamil

09/02/2025 10:59 PM

PADANG RENGAS, 9 Feb (Bernama) -- Bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz telah melaksanakan tugas dengan baik sepanjang dua tahun perkhidmatannya di Washington, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Muhammad Kamil Abdul Munim.

Muhammad Kamil berkata hubungan dua hala antara Malaysia dengan AS dari sudut pelaburan dan perdagangan juga bertambah baik sepanjang tempoh berkenaan.

“Pelaburan baharu termasuk daripada Google umpamanya yang masuk ke negara ini membuktikan Malaysia kekal dengan dasar sedia ada walaupun dalam beberapa hal tertentu kita berpendirian jelas, khususnya berkaitan kekejaman Israel kepada penduduk Palestin dan Gaza.

“Malah, saya percaya hubungan baik ini akan terus diperkukuhkan pada masa akan datang mengikut dasar yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya pada sidang media selepas program Sumbangan Kasih Madani Kembali ke Sekolah 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Beluru di sini hari ini. 

Mohamed Nazri mula memegang jawatan Duta Besar Malaysia ke AS pada 9 Feb 2023, dan menurut  kenyataan Kementerian Luar pemilihan itu berdasarkan pengalaman luasnya sebagai anggota pentadbiran negara.

Semalam media melaporkan Mohamed Nazri mengesahkan kontraknya sebagai Duta Besar Malaysia ke AS tamat selepas dua tahun berkhidmat di Washington.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan