AM > BERITA

Projek Pembinaan MAWILLA 4 Di Peringkat Akhir Kenal Pasti Tapak, Kesesuaian - Mohamed Khaled

09/02/2025 11:35 PM

KOTA TINGGI, 9 Feb (Bernama) -- Kementerian Pertahanan (MINDEF) kini dalam peringkat akhir bagi mengenal pasti kesesuaian dan tapak pembinaan Markas Wilayah Laut 4 (MAWILLA 4) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Bintulu, Sarawak. 

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika mengulas perkembangan berhubung pembinaan markas itu berkata ia adalah sebuah projek yang penting, dan beliau telah mengarahkan supaya pelaksanaannya disegerakan.

"Markas ini diperlukan (antaranya) bagi kita menampung keperluan untuk Kapal Misi Pesisir (LMS) yang dijangka siap pada akhir tahun 2027," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Masjid dan Surau sempena Ramadan di sini hari ini.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata kementerian dalam proses rundingan dengan kerajaan negeri Sarawak berhubung harga tanah premium bagi pembinaan MAWILLA 4, dan pembinaan pangkalan tambahan baharu TLDM itu adalah antara isu yang sedang dibincangkan dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Terdahulu Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata RM132,000 diperuntukkan bagi sumbangan kepada 28 masjid dan 48 surau dalam parlimen berkenaan, khusus bagi mengimarahkan sambutan Ramadan. 

Beliau berkata sumbangan wang tunai RM3,000 disampaikan kepada setiap masjid, manakala surau RM1,000.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan