AM > BERITA

Bekalan Air Di Dua Daerah Dijangka Pulih Secara Berperingkat Bermula Esok - Exco

10/02/2025 04:46 PM

IPOH, 10 Feb (Bernama) -- Pengguna dijangka menerima bekalan air secara berperingkat bermula awal pagi esok, selepas kerja penyelenggaraan aset paip air mentah bersaiz 825 milimeter (mm) dari muka sauk (intake) Batu 7, Sungai Woh ke Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Temoh dijangka siap hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata peratusan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas dijangka mencapai sekitar 50 peratus sekiranya sambungan ke LRA Bukit Temoh dapat diselesaikan. 

Beliau berkata Lembaga Air Perak (LAP) sebelum ini telah mengambil langkah menutup paip air mentah dari muka sauk Batu 7, Sungai Woh bagi mengurangkan kesan pergerakan tanah supaya kerja penyelenggaraan dapat dilaksanakan. 

“Pada Sabtu lepas, LAP telah melaksanakan kerja-kerja penyambungan terus (bypass) daripada paip bersaiz 825mm ke paip bersaiz 900mm dari muka sauk Batu 10, Sungai Batang Padang ke LRA Bukit Temoh. 

“Pada pagi semalam, LAP memaklumkan penyambungan sepanjang 500 meter berjaya dilaksanakan dan bacaan tekanan air mampu mencapai 90 peratus, namun terdapat injap (valve) yang tercabut semula dan terpaksa dibaiki,” katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Turut hadir Pengurus Besar LAP Lokman Abd Rahim dan Pengarah Negeri Wilayah Utara Cawangan Perak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Mohd Zaidi Mohamad Saad.

Mohammad Nizar berkata LAP sedang memantau penyambungan yang dibuat selain telah membuka semula paip air mentah dari muka sauk Batu 10, Sungai Batang Padang. 

“Hari ini kita telah buka semula, agar LRA Bukit Temoh dapat beroperasi 50 peratus daripada kapasiti pengeluaran biasa dan jika semuanya berjalan lancar, pagi esok kita mampu bekalkan 50 peratus (air) itu tadi. 

“Cuma kita bimbang apabila kita buka semula ini akan berlaku kebocoran di bahagian lain memandangkan kita sudah usik sistem paip yang dipasang sejak 1968,” katanya. 

Beliau berkata LAP juga telah mengaktifkan sistem bekalan air dari LRA Hilir Perak bagi menampung dan membantu penduduk di sekitar Teluk Intan yang mengalami gangguan.

Mohammad Nizar berkata LAP akan menggerakkan lori tangki air ke premis kritikal seperti hospital dan klinik menerusi 10 lori tangki iaitu lapan di kawasan Hilir Perak dan dua di Tapah. 

“Selain itu kita turut memohon lori tangki tambahan dari SPAN dan mereka telah pun menghantar 13 lori tambahan bagi mengurangkan kawasan terjejas sepanjang tempoh gangguan,” katanya. 

Beliau berkata ketika ini dianggarkan lebih 50,000 pengguna terlibat dalam gangguan bekalan air membabitkan Jalan Tapah, Changkat Petai, Tanjung Keramat, Air Kuning, Sungai Kroh, Kampung Tersusun Air Kuning, Chenderong Kelubi, SMTD, Jalan Temoh Station, Temoh dan kawasan sekitarnya.

Turut terlibat Mukim Labu Kubong, Mukim Sungai Manik, Langkap, Chui Chak, Kampung Air Hitam, Changkat Jong, Jalan Padang Tembak, Kampung Banjar, Kampung Selabak, Kampung Bahagia, Jalan Maharajalela, Jalan Sultan Abdullah, Pekan Teluk Intan dan kawasan sekitarnya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan