AM > BERITA

Insinerator Batu Arang: Kerajaan Negeri Terbuka Dengan Kritikan, Pandangan Penduduk

10/02/2025 09:16 PM

SHAH ALAM, 10 Feb (Bernama) -- Selangor sentiasa terbuka mendengar pandangan penduduk berhubung pembangunan loji rawatan termal atau insinerator di Batu Arang, Rawang dekat sini antaranya dengan mengadakan sesi pendengaran awam. 

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Datuk Ng Suee Lim berkata kerajaan negeri juga terbuka menerima sebarang pendapat atau bantahan sejajar peruntukan undang-undang sedia ada melibatkan projek berskala besar.

Beliau berkata kesediaan mendengar dan sikap terbuka itu sepatutnya tidak diikuti dengan tindakan Jaringan Rawang Tolak Insinerator (JRTI) mencadangkan supaya beliau tidak mempengerusikan sesi pendengaran Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 yang berlangsung hari ini.

“Tindakan itu tidak sepatutnya timbul ekoran pihak kami sentiasa terbuka, antaranya dengan menyediakan sesi pendengaran bagi menerima sebarang pendapat atau bantahan melibatkan projek berskala besar termasuk pembangunan insinerator berkenaan.

“Saya berasa tidak adil dengan kenyataan JRTI yang mendakwa saya memperlekeh pandangan dan usaha mereka dalam menangani isu itu, sedangkan dalam sesi anjuran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sebelum ini saya sudah mendengar dan memproses bantahan mereka,” katanya kepada pemberita selepas sesi berkenaan di sini hari ini.

Terdahulu, sesi pendengaran awam itu dikejutkan dengan tindakan JRTI yang mencadangkan Ng tidak mempengerusikan sesi berkenaan dengan mendakwa beliau memperlekeh pendapat dan pandangan mereka berhubung isu cadangan pembinaan loji memproses sisa pepejal kepada tenaga (WTE) Batu Arang.

Dalam sesi pendengaran yang dihadiri lebih 100 orang pegawai daripada pelbagai agensi kerajaan negeri itu, JRTI telah diberikan peluang untuk mengemukakan bantahan, namun ia bertukar kecoh apabila mereka didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.

Ng berkata beliau menarik diri daripada mempengerusikan sesi pendengaran agar JRTI dapat mengemukakan bantahan di hadapan pengerusi lain pada sesi akan datang kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.

Beliau berkata sebagai Exco yang bertanggungjawab terhadap pihak berkuasa tempatan, beliau sepatutnya mempengerusikan sesi pendengaran itu, namun Exco Infrastruktur dan Pertanian Datuk Ir Izham Hashim atau Exco Perumahan dan Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah akan mengambil tugas untuk menyelesaikan sesi pendengaran berikutnya.

“Saya hormat permintaan mereka dan atas dasar kerajaan negeri yang telus, saya dengan sukarela menarik diri dan akan menganjurkan sesi pendengaran lain untuk mereka dalam masa terdekat,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata kerajaan negeri masih belum memperoleh Kebenaran Merancang bagi pembangunan insinerator itu, dan menegaskan perancangan projek berkenaan perlu dilakukan secara teliti bagi memastikan situasi menang-menang kepada semua pihak.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan