AM > BERITA

Wanita Pertama Turkiye Naik Cruise, Nikmati Keindahan Tasik Putrajaya

11/02/2025 06:15 PM

PUTRAJAYA, 11 Feb (Bernama) -- Wanita Pertama Turkiye Emine Erdogan hari ini meluangkan masa menaiki Cruise Tasik Putrajaya di sini mengelilingi tasik sambil menikmati keindahan landskap dan bangunan yang tersergam megah dari atas bot.

Ketibaan beliau pada 3.15 petang disambut oleh isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Emine meluangkan kira-kira sejam beramah mesra dengan Dr Wan Azizah sambil menikmati pelbagai hidangan tempatan di atas bot pelayaran bernama Sebanau, selain menyaksikan pemandangan indah Putrajaya.

Turut serta dalam pelayaran itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, dan isteri Menteri Pertahanan Datin Seri Rosni Omar.

Bot berkenaan berlayar melalui bawah Jambatan Seri Wawasan serta kawasan perairan yang menampilkan pemandangan Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Sebelum memulakan pelayaran di tasik yang berkeluasan 650 hektar itu, isteri kepada Presiden Turkiye itu turut mencuba mencanting batik Malaysia dengan motif bunga raya.

Emine juga meluangkan masa mengunjungi beberapa kedai kraftangan berdekatan kawasan pelepasan Cruise Tasik Putrajaya sebelum mengakhiri lawatannya kira-kira 4.30 petang.

Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan bersama isterinya tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi selama dua hari.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan lawatan Erdogan mencerminkan hubungan antara kedua-dua negara yang terus kukuh, berdasarkan keakraban yang telah lama terjalin terutama selepas peningkatan tahap hubungan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada Julai 2022.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan