AM > BERITA

Hari Cuci Malaysia Ditetapkan Setiap Sabtu Terakhir September

12/02/2025 11:31 AM

PUTRAJAYA, 12 Feb (Bernama) -- Jemaah Menteri bersetuju menetapkan hari Sabtu terakhir bulan September sebagai Hari Cuci Malaysia di seluruh negara, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming

Nga berkata program tahunan itu akan diterajui oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Beliau berkata Hari Cuci Malaysia akan dilaksanakan dengan pendekatan seluruh negara oleh kementerian, jabatan, agensi Persekutuan, kerajaan negeri, kerajaan tempatan, institusi pendidikan, badan swasta, dan entiti lain mengikut kesesuaian serta kapasiti masing-masing.

"Ini adalah selaras dengan inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menetapkan 20 Sept sebagai Hari Pembersihan Sedunia bagi menangani isu pencemaran sisa yang semakin meningkat dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pembersihan awam.

"Kini, Malaysia telah menjadi antara destinasi pelancongan pilihan utama. Melalui inisiatif ini, kita berhasrat untuk menaikkan lagi imej sebagai negara yang bersih dan aman supaya kita dapat terus menawan hati pelancong dari seluruh dunia," katanya. 

Nga berkata pelaksanaan Hari Cuci Malaysia tahun lepas mencatatkan tiga rekod nasional baharu dalam The Malaysian Book of Records (MBOR) bagi bilangan penyertaan teramai seluruh negara iaitu 58,007 orang, jumlah kutipan sisa pepejal terbanyak dalam masa sehari iaitu 4,645.5 tan metrik dan pelaksanaan aktiviti gotong-royong terlama iaitu 12 jam.

Beliau berkata tahun ini KPKT menyasarkan untuk menarik 100,000 peserta yang akan turut melibatkan murid sekolah melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan