AM > BERITA

Kerajaan Peruntuk RM185 Juta Baik Pulih 358 PPR Seluruh Negara

13/02/2025 03:07 PM

PETALING JAYA, 13 Feb (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM185 juta bagi projek membaik pulih kemudahan di 358 Program Perumahan Rakyat (PPR) seluruh negara tahun ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha itu merupakan keutamaan Kerajaan MADANI dalam memastikan nasib penduduk PPR terutama dalam kalangan miskin bandar sentiasa terbela. 

“Dua tahun sebelum ini kita belanja RM100 juta, jadi sejak dua tahun ini sudah RM285 juta (dibelanjakan), tetapi saya tidak ada masalah kerana ini bukan membazir (sebaliknya untuk) baiki lif dan perbaiki kemudahan.  

“Kalau duduk rumah pun robek, bocor, jiran tetangga tak kenal, jadi tak ada semangat (untuk jadikan) rumah itu syurga kalau lif rosak, tandas pam pun tak jalan, sebab itu Kerajaan MADANI ambil tanggungjawab, tetapi mesti disambut oleh masyarakat,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis meraikan Forum Komuniti (Forkom) dengan sokongan Think City, di PPR Lembah Subang 1 di sini hari ini.

Perdana Menteri seterusnya mengumumkan peruntukan RM1.2 juta bagi projek membaik pulih PPR Lembah Subang 1, terutama melibatkan kemudahan lif yang sering mengalami kerosakan. 

Anwar turut mengingatkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selaku kementerian bertanggungjawab untuk menyegerakan projek baik pulih lif tersebut bagi keselesaan penduduk menjelang Ramadan.

“Saya tak mahu Perdana Menteri umum hari ini, tetapi minggu depan tak dapat apa, dua minggu tak ada apa lagi, lepas Ramadan, lepas raya, lif rosak lagi, saya tak akan terima - jadi minggu depan saya nak dapat laporan dah mula jalan atau tidak,” katanya yang mahu menjadikan PPR Lembah Subang 1 sebagai model contoh kepada semua PPR di negara ini. 

Anwar juga meminta kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan untuk menyenaraikan penghuni yang menetap di perumahan tersebut bagi memastikan kadar sewa yang dikenakan adalah munasabah.

Beliau berkata jika terdapat sebarang isu berbangkit seperti tunggakan bayaran sewa, ia harus dikemukakan kepada pihak berwajib selain kepada Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen bagi mencari penyelesaian terbaik. 

“Kalau sewa terlalu tinggi, kita boleh pastikan sewa yang kecil, kerana kalau duduk begini tanpa tanggungjawab, tak boleh. 

“Jadi kita pastikan, kita belanja bagi kemudahan, tetapi mesti jaga tanggungjawab dan masyarakat setiap tingkat harus tahu - sewa mesti bayar, mungkin kita boleh bincang kita boleh runding sikit tetapi saya nak pastikan bahawa sewa mesti kita bayar…masing-masing jalankan tanggungjawab mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan