PUTRAJAYA, 13 Feb (Bernama) -- Malaysia dan Indonesia berhasrat untuk terus memperkukuhkan kerjasama dua hala serta serantau dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan, menurut Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Dalam satu kenyataan, KPKM memaklumkan perkara itu dinyatakan ketika Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Menteri Luar Indonesia Arif Havas Oegroseno.
“Sejajar dengan hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia, pertemuan ini membincangkan usaha memperkukuhkan kerjasama dua hala dan serantau dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan,” menurut kenyataan itu.
Pada pertemuan itu, Arthur memaklumkan bahawa bersempena Kepengerusian ASEAN pada tahun ini, KPKM sedang menerajui penyediaan salah satu Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) di bawah naungan Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pertanian dan Perhutanan (AMAF).
Arthur seterusnya memaklumkan bahawa PED ini akan dibentangkan semasa Mesyuarat AMAF ke-47 yang dijadualkan berlangsung September ini.
Beliau memohon sokongan Indonesia serta semua negara anggota ASEAN terhadap usaha merealisasikan masa depan pertanian yang mampan dan berdaya tahan melalui PED ini.
KPKM memaklumkan Timbalan Menteri itu turut menjemput pihak Indonesia untuk menghadiri Mini Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Mini MAHA) 2025 yang bakal diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN pada November ini.
Pada 2023, Indonesia merupakan rakan perdagangan ketiga terbesar Malaysia dalam sektor agromakanan dan produk pertanian terpilih, dengan nilai dagangan antara kedua-dua negara pada 2023 adalah RM18.88 bilion dalam sektor pertanian sahaja.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial