AM > BERITA

Tindakan Segera Tingkatkan Penguasaan Bahasa Inggeris Pelajar Malaysia

13/02/2025 07:33 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar Malaysia, khususnya jurang antara sekolah bandar dan luar bandar, menyekat keupayaan negara untuk bersaing dalam pelbagai sektor di peringkat global termasuk teknologi, perniagaan, pendidikan dan penyelidikan, kata aktivis sosial Tan Sri Lee Lam Thye.

Lee dalam kenyataan hari ini mencadangkan supaya diwujudkan lebih banyak peluang untuk pelajar menggunakan bahasa Inggeris di luar bilik darjah seperti memasukkan bahasa itu ke dalam aktiviti kokurikulum.

Beliau mencadangkan agar sekolah menubuhkan kelab bahasa Inggeris, menganjurkan drama dan pertandingan debat manakala kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menubuhkan perpustakaan bahasa Inggeris di kawasan luar bandar bagi meningkatkan pendedahan.

“Lebih banyak aktiviti komunikatif perlu diperkenalkan untuk membolehkan penggunaan bahasa Inggeris di dunia sebenar. Bengkel pembangunan profesional yang kerap dan akses kepada sumber yang dikemas kini adalah penting,” katanya.

Kenyataan itu susulan kebimbangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap kemajuan yang kurang memberangsangkan dalam peningkatan penguasaan bahasa Inggeris pelajar.

Lee menegaskan bahawa kerjasama antara sekolah, komuniti dan organisasi swasta adalah penting untuk memupuk persekitaran yang menggalakkan penggunaan kerap bahasa Inggeris.

Beliau juga menekankan keperluan untuk merombak kaedah penilaian melangkaui peperiksaan bertulis tradisional untuk menggabungkan penilaian pertuturan, pendengaran dan pemahaman yang mencerminkan penggunaan bahasa di dunia sebenar.

"Pemantauan dan penilaian berkala terhadap keberkesanan program ini adalah penting. Sekolah juga perlu melangkaui peperiksaan bertulis dan menggabungkan bercakap, mendengar dan memahami,” katanya.

Mengiktiraf usaha Kementerian Pendidikan menerusi Pelan Pemerkasaan Bahasa Inggeris (3 PBI), beliau juga menekankan keperluan untuk mempercepat pelancaran pelan itu dan menilai semula keberkesanan serta membuat semakan yang perlu demi memastikan kejayaannya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan