SEREMBAN, 14 Feb (Bernama) -- Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan pasukan teknikal sedang menjalankan kerja-kerja pemeriksaan serta pemulihan yang diperlukan berhubung insiden kebakaran di Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar, Port Dickson dekat sini malam tadi.
TNB dalam kenyataan di Facebook memaklumkan kebakaran telah dipadamkan dan setakat malam tadi, tiada sebarang kecederaan membabitkan warga kerja TNB mahupun orang awam dilaporkan.
“TNB juga bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan bagi meneruskan siasatan dan telah mengambil langkah kawalan keselamatan. Secara keseluruhan operasi stesen janakuasa dalam keadaan terkawal," menurut kenyataan itu hari ini.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson Pegawai Kanan Penguasa Bomba Mohd Kamal Mohd Timar berkata kejadian dipercayai berlaku akibat kebocoran gas yang melibatkan letupan pada power unit 2A di kawasan talian paip membabitkan gas neutral serta kebakaran tidak menjejaskan struktur bangunan.
Beliau berkata stesen janakuasa berkenaan menggunakan tenaga turbin gas dan bacaan oksigen di luar bangunan iaitu 20.8 peratus adalah di tahap normal.
Terdahulu, Bernama melaporkan TNB mengesahkan insiden kebakaran berlaku di Stesen Janakuasa Tuanku Jaafar, Port Dickson dekat sini malam tadi bagaimanapun tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial