IPOH, 14 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas sebanyak 763.8 kilogram (kg) tepung gandum dan 1,728 kg gula yang disimpan melebihi had bernilai RM7,192.80 di sebuah premis perniagaan di Taman Jubilee di sini semalam.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata pemeriksaan dilakukan pada 11.30 pagi selepas mendapat aduan daripada orang awam berhubung sekatan pembelian dengan mengenakan syarat bagi mendapatkan minyak masak peket 1 kg yang dijalankan di premis itu.
"Pegawai dan anggota KPDN Negeri Perak telah membuat penyamaran uji beli melalui OPS Sabur dan hasil penyamaran mendapati premis tidak mengenakan apa-apa syarat bagi pembelian minyak masak peket 1 kg.
"Pemeriksaan lanjut dengan pakaian uniform juga mendapati premis mempunyai lesen barang kawalan (CSA) yang masih sah dan had kuantiti simpanan dibenarkan adalah sebanyak 500kg bagi minyak masak, gula dan tepung gandum," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata sewaktu pihaknya meminta pemilik premis untuk membuat pengistiharan stok, didapati premis terbabit telah menyimpan gula dan tepung gandum melebihi had yang dibenarkan.
“Sehubungan itu, satu tindakan kes telah diambil dan menyita sebanyak 1,728 kg gula dan 763.8 kg tepung gandum di premis terbabit,” katanya dengan menambah kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan yang dilakukan oleh pemilik premis berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial