SHAH ALAM, 14 Feb (Bernama) -- Impian 245 keluarga peneroka estet getah di kawasan Bestari Jaya, Kuala Selangor untuk memiliki rumah akan menjadi kenyataan dengan perasmian pecah tanah Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni MADANI Bestari Jaya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok.
Majlis perasmian yang akan berlangsung di tapak projek di Bestari Jaya pada 11 pagi itu turut akan dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Termpatan (KPKT) Nga Kor Ming dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Isu pemilikan rumah melibatkan lima estet iaitu Ladang Mary, Ladang Nigel Garder, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak di Bestari Jaya itu telah berlarutan hampir 26 tahun sejak 1998.
PRR Harmoni MADANI Bestari Jaya melibatkan pembinaan rumah teres berkeluasan 1,200 kaki persegi dengan dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air di atas tanah seluas 8.09 hektar di Lot 25, Ladang Sungai Tinggi oleh PR1MA Corporation Malaysia yang dilantik sebagai agensi pelaksana projek.
Pada Mei 2024, Nga mengumumkan kementerian itu dengan kerjasama kerajaan Selangor sepakat menjayakan pembangunan perumahan terbabit yang dijangka memberi manfaat kepada 1,250 penduduk secara keseluruhan.
Kerajaan juga bersetuju projek bernilai RM75 juta yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun itu dinamakan sebagai PRR Harmoni MADANI bagi mencerminkan semangat perpaduan antara kaum dan keharmonian sebagai kunci kejayaan negara.
PRR Harmoni MADANI Bestari Jaya juga merupakan program pertama yang dibangunkan selepas kerajaan mengumumkan untuk menambah baik dan menjenamakan semula Program Perumahan Rakyat (PPR) pada Oktober tahun lepas, menerusi pelaksanaan PRR ke arah menyediakan perumahan mampu milik yang lebih kondusif kepada rakyat.
Pembangunan PRR akan memberi penekanan kepada aspek kesalinghubungan, kebolehcapaian, kemampanan, berdaya huni dan pergerakan dengan kemudahan awam.
Menurut Nga, PPR ialah ilham Anwar ketika menjadi Menteri Kewangan pada 1995 dan penjenamaan semula program itu mampu membantu mengurangkan stigma dan persepsi negatif masyarakat terhadap komuniti PPR sedia ada serta meningkatkan imej program perumahan di bawah KPKT.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial