AM > BERITA

Rapid KL On-Demand Perkenal Enam Laluan Baharu

14/02/2025 05:25 PM

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Pengendali perkhidmatan bas Rapid KL dan bas perantara MRT, Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) bakal memperluaskan jaringan rangkaian perkhidmatan Rapid KL On-Demand dengan pengenalan enam laluan baharu bermula Isnin ini.

Rapid Bus dalam kenyataan memaklumkan laluan baharu ini meliputi Saujana Utama/Elmina – Jalan Kuala Selangor; Putra Heights – LRT Putra Heights; Taman Medan – Jalan Klang Lama; Pantai Sentral – LRT Universiti; Bandar Tun Razak - Taman Midah dan Danau Kota – Jalan Genting Kelang.

“Laluan baharu ini meliputi kawasan strategik yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi, lokasi yang belum mempunyai kemudahan pengangkutan awam serta mempunyai kesalinghubungan dengan perkhidmatan rel Rapid KL,” kata kenyataan itu. 

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Ku Jamil Zakaria berkata pengenalan enam laluan baharu ini juga adalah kesinambungan kejayaan pengenalan empat laluan baharu yang telah diperkenalkan pada 1 Feb lepas.

Ia merangkumi laluan di sekitar Taman Desa, Taman Genting Setapak, Putrajaya Sentral dan Bangsar dengan perkhidmatan ini berjaya mencatatkan jumlah penumpang lebih daripada 1,700 pengguna setakat hari ini setelah hampir setengah bulan beroperasi.

Secara keseluruhan, perkhidmatan ini telah beroperasi di 13 laluan di Lembah Klang yang menawarkan jaringan perkhidmatan baharu kepada para pengguna bagi melengkapkan perjalanan batuan pertama dan batuan terakhir.

“Rapid Bus akan menambah laluan baharu secara berperingkat sejajar dengan penerimaan van-van baharu. Inisiatif ini adalah usaha berterusan Rapid Bus dalam menyediakan servis baharu bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam,” katanya dalam kenyataan sama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan