AM > BERITA

PGIA Lancar Akademi AI April Ini - Chow

14/02/2025 05:51 PM

BUKIT MERTAJAM, 14 Feb (Bernama) -- Akademi Industri Perkhidmatan Perniagaan Global (GBS) Pulau Pinang (PGIA) akan melancarkan Akademi Kecerdasan Buatan (AI) April ini sebagai usaha menyediakan tenaga kerja di negeri ini dengan kemahiran AI terkini dan AI generatif.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata inisiatif berkenaan sekali gus memperkukuh kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi menarik bagi pelabur.

"Tahun ini, PGIA akan melancarkan sebuah akademi AI pada April yang bertujuan meningkatkan keupayaan tenaga kerja di negeri ini dengan menawarkan kursus AI dan AI generatif seleras dengan kehendak ekonomi digital,” katanya pada pelancaran bengkel Gen AI Skilling for Industry 4.0 Adoption in Small and Medium enterprises (SMEs) anjuran Dell Technologies di Bukit Minyak di sini hari ini.

PGIA ditubuhkan pada 2022 menerusi kerjasama diterajui InvestPenang, bersama-sama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Penang GBS Focus Group (Penang GFG) dan Penang Skills Development Centre (PSDC).

Chow berkata pada masa ini AI merupakan keperluan penting bagi perniagaan yang ingin berkembang dalam Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Beliau berkata AI menawarkan peluang transformatif untuk meningkatkan kecekapan, mengoptimumkan operasi, dan kekal berdaya saing dalam landskap digital yang sentiasa berkembang, terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Chow turut memuji usaha Dell yang proaktif dalam menyokong penggunaan AI dalam kalangan PKS tempatan dan menyatakan bahawa PKS, sama ada di Pulau Pinang atau di Malaysia, berpeluang untuk maju dengan sokongan daripada syarikat multinasional seperti Dell.

“Bengkel kali pertama oleh Dell hari ini merupakan langkah ke arah platform pendidikan yang dapat membantu PKS yang menyertai untuk memahami lebih mendalam mengenai kepentingan AI selain membina asas teknikal untuk mencapai matlamat berkenaan.

“Dengan sokongan daripada rakan ekosistem, kami dapat menggabungkan kekuatan masing-masing dalam mempercepat penerapan AI dalam kalangan SME, sekali gus memberi kelebihan besar kepada rantaian bekalan kami dalam IR4.0," katanya.

Chow kemudian turut melancarkan kempen kitar semula e-harvesting, kerjasama antara Dell Technologies, Shan Poornam Metals Sdn Bhd, Penang Green Council (PGC), Jabatan Alam Sekitar, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Inisiatif selama enam bulan ini, yang berlangsung dari bulan ini hingga Ogos depan dijangka dapat mengurangkan 100 tan sisa elektronik.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan