PUTRAJAYA, 16 Feb (Bernama) -- Permohonan bagi menukar Lesen Memandu Percubaan (PDL) kepada Lesen Memandu Kompeten (CDL) boleh dibuat melalui aplikasi MyJPJ bermula esok.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli dalam kenyataan hari ini berkata kemudahan itu dijangka memanfaatkan 2.38 juta pemegang PDL yang layak.
“Pengenalan fungsi baharu ini bertujuan memudahkan orang ramai membuat permohonan CDL secara dalam talian tanpa perlu hadir ke kaunter JPJ.
“Dengan adanya fungsi baharu ini, pemegang lesen PDL boleh membuat permohonan CDL melalui aplikasi MyJPJ pada bila-bila masa dan di mana sahaja menerusi telefon pintar mereka,” menurut kenyataan itu.
Beliau berkata pemohon perlu memuat turut atau mengemas kini aplikasi MyJPJ sebelum log masuk bagi meneruskan beberapa langkah, iaitu memilih menu ‘Permohonan CDL’ dan ‘Tempoh Pembaharuan’.
Aedy Fadly berkata pemohon perlu memilih ‘Mod Bayaran’ dan membayar fi permohonan secara dalam talian bagi membolehkan permohonan mereka diproses.
“Seterusnya anda akan menerima notifikasi status permohonan,” katanya.
Aedy Fadly berkata fungsi baharu permohonan CDL melalui aplikasi MyJPJ itu adalah mudah dan cepat, menjimatkan masa, fleksibel dan mesra pengguna.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial