AM > BERITA

Fahmi Minta Petra News Selesaikan Segera Isu Tunggakan Caruman, Gaji Dengan Pekerja

16/02/2025 07:07 PM

SERI KEMBANGAN, 16 Feb (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini meminta supaya Petra News Sdn Bhd mengadakan perbincangan dengan pekerjanya bagi menyelesaikan segera isu tunggakan caruman berkanun serta kelewatan pembayaran gaji.

Beliau berkata penerbit portal berita The Malaysian Insight, The Vibes dan Getaran itu perlu menyelesaikan isu tersebut dengan kadar segera memandangkan perkara itu telah berlanjutan sekian lama.

Fahmi berkata pihaknya juga akan memantau perkara itu dan menunggu hasil pertemuan di peringkat dalaman tersebut yang dijangka akan dibuat dalam masa terdekat.

“Sejak beberapa bulan lepas saya telah berhubung dengan pihak syarikat tersebut kerana memang sejak tahun lepas saya mendapat maklumat dan cuba membantu wartawan yang terkesan akibat tindakan tidak membuat bayaran sama ada gaji dan sebagainya oleh syarikat tersebut. 

“Saya tidak pasti kenapa pertemuan tidak diadakan sebelum ini, tetapi saya telah tegaskan kepada pemilik syarikat tersebut supaya diuruskan segera (isu berkenaan),” katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga bekas wartawan Utusan Melayu (M) Bhd Muhammad Basir Abu Bakar yang meninggal dunia semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Semalam 15 petugas Petra News Sdn Bhd menuntut pembayaran segera caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Potongan Cukai Bulanan (PCB) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi tahun lepas.

Menerusi kenyataan bersama, mereka memaklumkan semakan dengan KWSP, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Perkeso mendapati Petra News gagal menyerahkan bayaran bagi pihak pekerja dan majikan kepada pihak berkuasa berkaitan, walaupun pemotongan gaji telah dibuat untuk caruman berkanun.

Petugas terjejas telah membuat laporan di Balai Polis Travers, Brickfields dua hari lepas.

Sementara itu Fahmi berkata selain isu berkenaan, pihaknya juga telah membantu beberapa kes lain melibatkan wartawan yang terkesan akibat keputusan majikan masing-masing

“… ada juga beberapa media lain yang telah ‘melepaskan’ pekerja-pekerja mereka dan saya juga telah membantu. Ini bukan dalam kes ini sahaja (Petra News) tetapi beberapa kes yang lain.. saya cuba untuk dapatkan pekerjaan bagi mereka di mana-mana syarikat atau kementerian jika bersesuaian.

“Saya cuba membantu seramai mungkin wartawan yang mungkin terkesan akibat keputusan yang dibuat oleh majikan masing-masing,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan