AM > BERITA

Pemukiman KPT Erat Hubungan, Tingkat Kerjasama Antara Universiti Awam Dan Politeknik

16/02/2025 07:58 PM

PUTRAJAYA, 16 Feb (Bernama) -- Program permukiman selama dua hari melibatkan pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), naib canselor, rektor universiti dan pengarah politeknik menjadi platform mengeratkan hubungan, meningkatkan kerjasama antara universiti awam serta politeknik di negara ini.

KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan program yang dicetuskan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir itu menghimpunkan 20 naib canselor termasuk rektor universiti serta 36 pengarah politeknik.

“Idea penganjuran program ini amat penting sebagai platform penyampaian mesej dan agenda KPT secara terus kepada kepimpinan utama dan politeknik untuk dilaksanakan di institusi masing-masing.

“Program Retreat Bersama Doc Zam yang diadakan di Lumut, Perak itu melabuhkan tirai hari ini dan diisi dengan pelbagai pengisian, aktiviti serta sesi libat urus antara pengurusan tertinggi KPT dan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) serta Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK),” menurut kenyataan itu.

KPT memaklumkan program itu juga dapat memperkukuh kerjasama antara semua IPTA di seluruh negara serta memperkukuh semangat kerja berpasukan untuk melakar kecemerlangan dan meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara.

Kenyataan itu menyebut program berkenaan juga membuka ruang dan peluang untuk pimpinan tertinggi IPTA berdialog secara terus bagi menyatakan persoalan, pandangan, cadangan serta perkongsian dalam usaha menambah baik pelbagai aspek berkaitan pendidikan tinggi.

Dalam kenyataan sama, Zambry berharap semua fokus utama KPT tahun ini dapat direalisasikan dengan jayanya terutama dalam aspek penyediaan bakat terbaik negara, pemindahan dan perkongsian ilmu, tadbir urus pengurusan IPTA dan pembangunan infrastruktur kampus.

“Kementerian juga komited untuk memastikan segala agenda transformasi yang direncana dapat dilaksanakan dengan mengambil kira kepentingan segenap pemegang taruh dalam ekosistem pendidikan tinggi,” katanya.

Program itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud, Ketua Setiausaha KPT Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, pengurusan tertinggi dan jabatan di bawah KPT.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan