AM > BERITA

155 Murid Di Slim River Terima Bantuan Persekolahan

16/02/2025 08:08 PM

TANJONG MALIM, 16 Feb (Bernama) -- Sebanyak 155 murid dan pelajar di sekitar Slim River, dekat sini hari ini, menerima bantuan kewangan menerusi Program Bantuan Masuk Sekolah anjuran Pejabat Ahli Parlimen Tanjong Malim.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata jumlah itu sebahagian daripada 900 penerima program berkenaan di seluruh Parlimen Tanjong Malim tahun ini yang membabitkan perbelanjaan kira-kira RM90,000.

Chang yang juga Ahli Parlimen Tanjong Malim berkata beliau berharap bantuan itu dapat membantu ibu bapa melakukan persiapan untuk anak-anak mereka memasuki sesi persekolahan yang bermula esok.

“Kami (Pejabat Ahli Parlimen Tanjong Malim) akan kekal menganjurkan program ini untuk tahun-tahun akan datang dan berharap bantuan ini membantu ibu bapa ataupun keluarga yang memerlukan,” katanya selepas menyampaikan bantuan berkenaan.

Chang berkata bantuan kepada sektor pendidikan menjadi keutamaannya kerana golongan pelajar adalah khazanah negara, maka wajar mereka diberikan kemudahan serta sumber mencukupi.

Sementara itu, suri rumah Norhamimah Abdullah, 34, ketika ditemui pada program itu berkata bantuan berkenaan dapat digunakan untuk membeli kelengkapan sekolah anak-anaknya.

“Saya berasa gembira (anak) dapat bantuan ini, sedikit sebanyak boleh bantu kewangan saya, mungkin boleh dapat lagi (bantuan diteruskan) tahun depan,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

Selain itu, S. Krithika, 12, murid Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Trolak bersyukur kerana layak menerima bantuan persekolahan itu, sekali gus dapat membantu meringan kewangan ibu bapanya.

Sesi persekolahan 2025 bermula esok bagi Kumpulan B iaitu di Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Sesi bagi Kumpulan A pula telah bermula hari ini di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan