AM > BERITA

Bangunan Baharu PPD Sipitang Bernilai RM11.3 Juta Siap, Diserahkan Kepada KPM

16/02/2025 08:51 PM

SIPITANG,16 Feb (Bernama) -- Bangunan baharu Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bernilai RM11.3 juta di sini yang siap telah dibina, hari ini telah diserahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata bangunan baharu yang dibina di atas tanah berkeluasan lebih daripada satu hektar itu, mula dibina pada Ogos 2022 sebelum diserahkan kepada KPM.

“Kita berharap dengan adanya PPD Sipitang ini, isu berkaitan dengan pendidikan di Sipitang ini dapat dilaksanakan dengan lebih efektif dan efisien, terutamanya isu akses pendidikan dan juga memastikan bahawa anak-anak kita tidak ada yang terpinggir khususnya dalam bidang pendidikan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Fadhlina berkata bangunan baharu PPD Sipitang itu terdiri daripada blok pentadbiran serta dilengkapi dengan kemudahan lain itu, adalah tanda komitmen KPM meningkatkan akses serta kualiti pendidikan di Sipitang dan di Sabah amnya.

Beliau berkata KPM sentiasa berusaha meningkatkan akses pendidikan dan menangani kemiskinan bagi memastikan tiada murid yang tercicir dalam pendidikan.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah Datuk Raisin Saidin, Ahli Parlimen Sipitang Datuk Matbali Musah dan Ahli Dewan Undangan Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob.

Mengenai sesi persekolahan yang akan bermula esok, Fadhlina berkata bantuan persekolahan sebanyak RM150, telah disalurkan kepada ibu bapa untuk membuat persiapan selain lain-lain bantuan mengikut keperluan anak masing-masing.

Beliau berkata minggu pertama persekolahan, merupakan minggu aktiviti suai kenal untuk pelajar melakukan aktiviti bersama rakan-rakan sekolah yang lain, terutamanya bagi murid darjah satu.

Fadhlina berkata perkara itu adalah antara pendekatan baru KPM, supaya minggu pertama adalah minggu lebih santai untuk pelajar mengenal antara satu sama lain, serta melakukan aktiviti bersama rakan-rakan dan guru sebelum memulakan sesi akademik yang sebenar.

“Jadi kita harap minggu pertama ini digunakan sepenuhnya untuk mereka membiasakan diri dengan sesi persekolahan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan