KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil akan mengadakan pertemuan dengan beberapa pengamal media Rabu ini untuk membincangkan beberapa perkara terutama isu kebajikan mereka berikutan perubahan yang berlaku dalam landskap media Malaysia.
Beliau berkata terdapat sejumlah syarikat media di negara ini yang menghadapi kesukaran membayar gaji kerana mengalami tekanan ekonomi dalam tempoh tiga hingga empat tahun kebelakangan ini.
Fahmi berkata perkara ini antara lain disebabkan dana pengiklanan yang berpindah dari media arus perdana kepada media sosial.
"Ini satu kesan daripada perubahan dan ada media yang telah berjaya mengadaptasi operasi mereka, ada yang masih berusaha untuk mencari kedudukan yang baharu.
"Mengambil kira perubahan-perubahan ini, saya berhasrat untuk meneliti cara-cara tambahan ataupun cara-cara baharu untuk kerajaan membantu, bagi saya yang paling penting adalah nasib dan kebajikan bagi para pekerja dalam sektor media," katanya dalam sidang media selepas Digital Leadership Excellence Graduation Ceremony 2024 di sini hari ini.
Fahmi berkata demikian susulan isu melibatkan Petra News Sdn Bhd dan mengambil kira perubahan-perubahan yang berlaku kepada syarikat-syarikat media.
Sementara itu beliau berkata pertemuan antara pekerja syarikat media Petra News Sdn Bhd dan pihak pengurusan syarikat itu telah diadakan pagi ini.
Beliau berkata bagaimanapun pihaknya masih belum menerima maklumat terkini berhubung perkara itu.
Semalam Fahmi meminta supaya Petra News Sdn Bhd mengadakan perbincangan dengan pekerjanya bagi menyelesaikan segera isu tunggakan caruman berkanun serta kelewatan pembayaran gaji.
Ditanya sama ada kerajaan bercadang untuk menggunakan sebarang mekanisme kawal selia berhubung isu syarikat media seumpama itu agar ia tidak berulang, Fahmi berkata aspek kawal selia syarikat wujud, memandangkan penubuhan syarikat media tertakluk di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
"Jadi di situ beberapa aspek kawal selia, memang telah wujud terutama bila mereka menggaji pekerja dari segi hak pekerja untuk mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), mendapat perlindungan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dari segi itu ada.
“Untuk media, secara umumnya kita tidak menyekat pembentukan syarikat-syarikat baharu," katanya.
Petra News Sdn Bhd adalah penerbit portal berita The Malaysian Insight, The Vibes dan Getaran.
Sabtu lepas 15 petugas Petra News Sdn Bhd menuntut pembayaran segera caruman KWSP, Potongan Cukai Bulanan (PCB) dan Perkeso bagi tahun lepas.
Menerusi kenyataan bersama, mereka memaklumkan semakan dengan KWSP, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Perkeso mendapati Petra News gagal menyerahkan bayaran bagi pihak pekerja dan majikan kepada pihak berkuasa berkaitan, walaupun pemotongan gaji telah dibuat untuk caruman berkanun.
Petugas terjejas telah membuat laporan di Balai Polis Travers, Brickfields pada 14 Feb.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial