AM > BERITA

Pos Malaysia Umum Pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Baharu

17/02/2025 11:03 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) hari ini mengumumkan pelantikan dua ahli Lembaga Pengarah baharu iaitu Datuk Mohamad Fauzi Md Isa sebagai Pengarah Bukan Bebas dan Bukan Eksekutif, dan Mano Verabathran selaku Pengarah Gantian berkuat kuasa serta-merta.

Penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan negara itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan itu bakal memberikan lebih banyak manfaat kepada Pos Malaysia berdasarkan pengalaman luas dan kepakaran mereka,

Pelantikan itu juga akan mengukuhkan lagi barisan kepimpinan syarikat untuk terus melaksanakan inovasi serta menawarkan perkhidmatan pos dan logistik yang cemerlang.

“Datuk Mohamad Fauzi Md Isa yang mempunyai pengalaman luas lebih 31 tahun dalam perkhidmatan awam, pernah menyandang beberapa jawatan penting. Beliau kini berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi sejak 12 Dis 2023, sebelum ini memegang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Komuniskasi dan Digital.

“Beliau juga Ahli Suruhanjaya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, mencerminkan pengalaman yang luas mengenai komunikasi dan landskap digital,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Mano pula telah berkecimpung selama 30 tahun dalam sektor perkhidmatan awam selaian berpengalaman dalam kepimpinan dan strategi.

Beliau ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Infrastruktur Telekomunikasi) di Kementerian Komunikasi sejak dilantik pada 19 Jun 2024.

“Sebelum ini beliau pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Bahagian Antarabangsa di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India di Jabatan Perdana Menteri, dan Timbalan Setiausaha di Kementerian Pengangkutan," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan