KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Masalah pengurusan air tidak teratur di Kelantan perlu diatasi segera bagi meningkatkan hasil pertanian dan mengurangkan kebergantungan terhadap beras import.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Khalid Abdul Samad berkata pesawah di negeri itu sering berdepan dua masalah ekstrem iaitu banjir pada Disember yang menyebabkan sawah tenggelam dan kekurangan air akibat kemarau pada Februari.
Untuk itu, beliau berkata kerjasama antara KADA, Kerajaan Negeri Kelantan dan Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) amat diperlukan bagi memastikan keberkesanan sistem pengairan di kawasan pesawah, khususnya di Kemubu, Kelantan.
“Kita perlu mengetepikan politik dan memberikan tumpuan kepada usaha untuk membantu petani dan memastikan bekalan beras tempatan dapat dipertingkatkan,” katanya pada program Ruang Bicara Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata dalam usaha menangani masalah itu, KADA telah memulakan projek penambahan dan pembinaan dua rumah pam baharu di Kemubu yang dijangka siap menjelang Ogos tahun ini.
“Kemubu 3 boleh berfungsi jika paras air hanya dua meter dan Kemubu 4 boleh beroperasi walaupun paras air hanya satu meter. Ini akan memastikan bekalan air mencukupi walaupun pada musim kemarau yang panjang.
“Kami sudah mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri untuk membaiki sheet pile yang rosak akibat banjir tetapi perlu memenuhi syarat-syarat ditetapkan kerajaan negeri. Oleh itu, kerjasama antara pihak-pihak berkenaan adalah sangat penting,” katanya.
Sementara itu, bagi melindungi pesawah daripada kerugian akibat bencana alam, Khalid menyarankan mereka mengambil dan berdaftar skim insurans Takaful yang diusahakan oleh Agrobank di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“Walaupun kita tidak dapat menafikan kerugian tetap berlaku, sekurang-kurangnya pesawah akan menerima pampasan yang dapat meringankan beban mereka. Ini dapat mengurangkan impak kerugian yang dialami oleh mereka akibat bencana tidak dijangka,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial