AM > BERITA

44 Kilang e-Waste Haram Diambil Tindakan Setakat Hujung Tahun Lepas - Nik Nazmi

18/02/2025 03:12 PM

PUTRAJAYA, 18 Feb (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil tindakan terhadap 44 kilang memproses buangan elektronik (e-waste) haram sehingga 31 Dis lepas, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Dalam kenyataan hari ini beliau berkata lapan daripada kilang berkenaan telah diarah tutup manakala 36 lagi sedang dalam proses tindakan perundangan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974).

Merujuk kepada kilang e-waste memproses kelongsong peluru secara haram yang dilaporkan media baru-baru ini, beliau berkata pihak berkuasa telah mengambil tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan di bawah Seksyen 38(1)(a) AKAS 1974, selain kertas siasatan untuk tujuan pendakwaan juga akan disediakan.

Nik Nazmi berkata siasatan dilakukan di bawah Seksyen 18 akta sama kerana menjadi kemudahan penstoran luar tapak buangan terjadual tanpa mendapat lesen daripada JAS.

Beliau berkata tindakan juga diambil mengikut Seksyen 34A iaitu gagal mengemukakan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling kepada JAS dan Seksyen 34B kerana menempatkan buangan terjadual tanpa mendapat kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar.

Pada 15 Feb, media melaporkan penemuan 50 tan peluru dan kelonsong dipercayai untuk dileburkan secara tidak sah, dalam serbuan terhadap sebuah kilang memproses sisa e-waste di Selangor. 

Sementara itu Nik Nazmi dalam kenyataan sama berkata Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui JAS komited memastikan Malaysia tidak menjadi tempat transit atau pelupusan e-waste negara maju selaras dengan Konvensyen Basel Mengenai Kawalan Pergerakan Merentas Sempadan Buangan Berbahaya dan Pelupusannya. 

Konvensyen itu menetapkan sebarang pergerakan rentas sempadan untuk buangan terjadual seperti e-waste memerlukan kelulusan terlebih dahulu sebelum aktiviti transit, transhipment (pemindahan), import dan eksport dijalankan.

Beliau berkata bagi mengawal pergerakan masuk e-waste melalui pintu masuk utama negara, Konvensyen Basel menetapkan e-waste yang merentasi sempadan perlu melalui prosedur Prior Informed Consent (PIC - Persetujuan Terlebih Dahulu) dan pengimportan tanpa mematuhi prosedur itu dikategorikan sebagai penghantaran secara haram di bawah Artikel 9.

Artikel 9 Konvensyen Basel juga menyatakan negara pengeksport tanpa kelulusan dari negara pengimport bagi barang dagangan dikategorikan sebagai buangan terjadual perlu mengambil semula barang tersebut dalam 30 hari.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan