KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Malaysia dan United Kingdom (UK) memperbaharui komitmen untuk memperkukuh kerjasama antara Parlimen serta mempertingkat kerjasama perkongsian amalan terbaik penggubalan undang-undang, tadbir urus demokratik dan reformasi Parlimen.
Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam kenyataan berkata perkara itu antara topik dibincangkan pada mesyuarat dua hala antara Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Speaker House of Commons UK Sir Lindsay Hoyle di Parlimen hari ini.
"Mesyuarat ini merupakan platform meneroka peluang baharu bagi meneruskan kerjasama yang telah dibangunkan antara dua negara pada peringkat legislatif.
"Pertemuan dua hala ini susulan pertemuan Johari dan Hoyle di House of Commons pada April 2024," menurut kenyataan itu.
Kedua-dua speaker turut membincangkan cabaran serantau dan global termasuk keselamatan siber, perubahan iklim, daya tahan ekonomi serta peranan Parlimen ke arah memupuk keamanan dan keselamatan.
"Perbincangan turut menyentuh peningkatan program pembinaan kapasiti dan inisiatif perkongsian kepakaran antara Parlimen Malaysia dan Parlimen UK terutama usaha kesamarataan jantina dalam perwakilan Parlimen serta kepimpinan belia," menurut kenyataan itu.
United Kingdom merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah, dengan jumlah dagangan keseluruhan mencapai RM16.8 bilion (USD3.68 bilion)
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial