BINTULU, 18 Feb (Bernama) -- Seorang lelaki yang keluar menjala ikan di tebing Sungai Nyigu lewat petang semalam dan gagal pulang ke rumah ditemukan lemas serta dipercayai dibaham buaya di sungai berkenaan hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata pasukan mencari dan menyelamat telah menemukan mayat mangsa, David Gira, 49, pada pukul 2.32 petang.
Beliau berkata mayat mangsa ditemukan kira-kira 1.8 kilometer dari lokasi kejadian, ke arah hilir sungai dari tempat mangsa meletakkan motosikalnya.
“Mangsa dikhuatiri dibaham buaya semasa menjalankan aktiviti menjala ikan di tebing Sungai Nyigu kerana terdapat kesan gigitan pada badannya,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.
Menurutnya, pengecaman serta pengesahan mayat telah dibuat oleh ahli keluarga mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Pada pukul 5.30 petang semalam, mangsa telah keluar menjala ikan di sungai berhampiran rumah pekerja di Borneo Shipping Timber Agencies Sdn Bhd. Bagaimanapun, mangsa dilaporkan tidak pulang ke rumah sehingga isterinya membuat laporan polis mengenai kehilangan suaminya.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki warganegara Indonesia maut apabila lori yang dipandunya terbabit dalam kemalangan kendiri di hadapan kilang Daiken, Kidurong pada pukul 4.30 petang ini.
Menurut jurucakap PGO, mangsa, Muhamad Arif, 50, tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Pasukan bomba kemudiannya mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan penyelamat sebelum menyerahkan mayat kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial