AM > BERITA

Perpaduan Kaum Tumpuan Akhir Perbahasan Titah Agong

18/02/2025 10:53 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Isu perpaduan kaum menjadi antara topik tumpuan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang pada hari terakhir sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) berkata beliau melihat kebelakangan ini, hubungan dan perpaduan antara kaum seakan-akan kian rapuh dengan beberapa isu yang dibangkitkan, dilihat mencetuskan ketidaksefahaman serta keraguan dalam kalangan rakyat.

“Pada saat ada pihak yang mengkritik garis panduan untuk orang Islam yang kononnya bakal menimbulkan ketidakharmonian kaum, ada juga pihak yang mencadangkan dan menyokong agar diwujudkan Menteri Hal Ehwal Agama Bukan Islam bagi mengukuhkan perpaduan kaum.

“Selain itu, terdapat juga cadangan untuk menggubal Akta Antidiskriminasi Kaum atas alasan menjamin keharmonian dan perpaduan. Hakikatnya, hubungan serta keharmonian kaum sebenarnya berbalik kepada diri kita sendiri. Kita yang mencorak hubungan dan perpaduan kaum di Malaysia ini selepas dasar pecah dan perintah yang telah diterapkan oleh British,” katanya.

Beliau turut membangkitkan isu penglibatan sesetengah kaum dalam Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Tabika Perpaduan yang tidak mencerminkan komposisi kaum di negara ini.

“Sistem pendidikan kita hari ini seharusnya mengambil kira kepelbagaian kaum bagi memupuk semangat perpaduan negara seperti yang dititahkan oleh Tuanku, Ahli Dewan yang mulia ini hendaklah menjadi benteng perpaduan dan bukan ejen perpecahan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mahu kerajaan memperkasa peranan serta kualiti sekolah kebangsaan yang sepatutnya menjadi platform terbaik untuk mendidik perpaduan dalam kalangan murid pelbagai bangsa dan agama.

Beliau berkata langkah itu perlu disegerakan kerana bimbang akan realiti masa kini apabila ibu bapa lebih memilih untuk menghantar anak ke sekolah swasta, antarabangsa dan vernakular, sekali gus menyukarkan percampuran murid pelbagai bangsa.

“Dulu di sekolah ada murid berbilang bangsa dan agama tetapi hari ini sangat berbeza kerana ada kelas yang langsung tiada murid berbangsa Cina dan ini sesuatu yang mencemaskan.

“Jadi, saya mencadangkan agar kerajaan memberi insentif khas kepada sekolah kebangsaan supaya ibu bapa menjadikannya sebagai pilihan utama, selain menyediakan ‘tablet’ percuma bagi mengurangkan jurang digital serta memastikan makanan berkhasiat dibekalkan secara percuma,” katanya.

Beliau turut meminta rombakan silibus bagi meningkatkan kualiti pendidikan negara.

Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) pula membangkitkan persoalan mengenai model dan metodologi yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Perpaduan Negara untuk meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia serta mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni.

Beliau berkata ini berikutan pelbagai isu mutakhir yang dikhuatiri mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan rakyat serta menjejaskan perpaduan kaum.

“Apa yang saya bangkitkan ini adalah demi ketelusan untuk kebaikan dan perpaduan nasional. Oleh sebab itu kerajaan perlu bertindak segera kerana rakyat menantikan penyelesaian yang jelas, adil dan berkesan,” katanya.

Sementara itu, Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengajak Ahli Parlimen mengamalkan politik ‘rahmah’ yang berteraskan kasih sayang, keadilan dan ihsan serta menolak politik yang boleh membawa perpecahan dan menggugat keharmonian negara.

“Kita perlu memastikan perpaduan diperkukuhkan, keharmonian terus terjamin dan kita perlu mengamalkan politik rahmah serta menolak politik fitnah,” katanya.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan