AM > BERITA

MPOGCF Sumbang RM49,350 Sokong Pemuliharaan Beruang Matahari Borneo

19/02/2025 12:41 PM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) menghulurkan sumbangan RM49,350 kepada Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo (BSBCC) di Sepilok, Sabah.

MPOGCF dalam kenyataan hari ini memaklumkan sumbangan berkenaan bertujuan untuk menyokong usaha-usaha yang dilakukan oleh BSBCC dalam memulihara beruang matahari Borneo yang semakin diancam risiko kepupusan.

“MPOGCF berpendapat, program rehabilitasi dan pelepasan semula yang dilaksanakan oleh BSBCC ini adalah model pemuliharaan yang mampan dan berimpak tinggi,” menurut kenyataan itu.

Sumbangan berkenaan disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF Datuk Abdul Hadi Omar kepada Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif BSBCC Dr Wong Swie Te semasa lawatan rasmi yayasan ke pusat pemuliharaan itu pada 17 Feb lepas.

Lawatan itu turut disertai beberapa pegawai tertinggi antaranya Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perladangan dan Komoditi Datuk Razali Mohamad, Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia Datuk Dr Ramli Kasin, Ahli-Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF serta Pengurus Besar MPOGCF.

Penglibatan MPOGCF yang mewakili penggiat-penggiat industri sawit Malaysia membuktikan keseriusan dan kesungguhan industri berkenaan untuk memelihara dan memulihara khazanah negara.

“Ia juga menghantar isyarat yang jelas kepada dunia bahawa selain mementingkan keuntungan ekonomi, industri sawit negara juga tidak melupakan tanggungjawab melindungi ekologi dan biodiversiti,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan