AM > BERITA

PM Anwar Gesa Sarjana Islam, Intelektual Bersatu Demi Palestin Dan Syria, Ambil Tindakan Konkrit

19/02/2025 09:11 PM

Oleh Noor Bakhtiar Ahmad & Nik Nurfaqih Nik Wil

MANAMA (BAHRAIN), 19 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menggesa para sarjana dan intelektual dunia Islam untuk bersatu menentang perpecahan mazhab, serta mengambil tindakan konkrit dalam menyokong Palestin dan Syria.

Berucap pada majlis dihadiri 400 sarjana Islam, pemimpin agama dan pakar di Persidangan Dialog Intra-Islam di sini, Anwar mengecam keras eksploitasi perbezaan mazhab.

Beliau memberi amaran bahawa perpecahan seperti itu melemahkan perpaduan politik dan menghalang kerjasama yang diperlukan dalam kalangan negara Islam.

“Namun demikian, masih ada yang melihat perbezaan itu bukan sebagai sumber kekayaan, tetapi sebagai garis pemisah yang boleh dimanipulasi demi kepentingan mereka sendiri. Sektarianisme telah dijadikan senjata untuk membangkitkan ketegangan, memecahbelahkan masyarakat dan melemahkan perpaduan politik.

“Ia telah menghalang kerjasama antara negara, yang berdasarkan logik dan keperluan, seharusnya bersatu sebagai sekutu,” kata beliau di sini hari ini.

Ucapan Anwar itu selari dengan gesaan Imam Besar Al Azhar Al Sharif Prof Dr Ahmed El-Tayyeb, yang menggesa para sarjana dan golongan elit dunia Islam untuk memimpin usaha memupuk perpaduan serta bertindak dengan kesedaran sebagai satu ummah yang bersatu.

Anwar merupakan satu-satunya ketua kerajaan yang dijemput untuk berucap dalam persidangan ini, yang diadakan di bawah naungan Raja Bahrain Raja Hamad Isa Al Khalifa, serta dihadiri oleh Imam Besar Al Azhar.

Acara ini berlangsung semasa lawatan rasmi pertama Anwar ke negara Teluk itu atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain Salman bin Hamad Al Khalifa.

Dalam satu gesaan tindakan yang tegas, Anwar menegaskan bahawa perjuangan Palestin adalah akibat langsung daripada perpecahan dalam dunia Islam dan menyeru agar tindakan lebih konkrit diambil berbanding sekadar kecaman lisan.

“Selama berdekad, rakyat Palestin berhadapan dengan penjajahan, pengusiran dan ketidakadilan yang sistematik.

“Perjuangan mereka adalah peringatan nyata tentang akibat perpecahan dalam ummah kita. Dunia Islam mesti menunjukkan solidariti yang lebih besar terhadap Palestin – bukan sekadar melalui isyarat kosong, tetapi dengan tindakan kolektif, usaha diplomatik, dan sokongan ekonomi,” kata beliau.

Anwar berkata kebergantungan ekonomi, perpecahan politik dan kegagalan membentuk barisan yang bersatu, telah membiarkan rakyat Palestin terus menjadi sasaran agresif tanpa henti.

“Pembunuhan beramai-ramai di Gaza, peluasan penempatan haram dan pengusiran berterusan keluarga-keluarga Palestin, menuntut lebih daripada sekadar kecaman secara kata-kata. Kita mesti komited dalam menyediakan sumber nyata untuk menyokong pendidikan, penjagaan kesihatan dan infrastruktur Palestin. Kita mesti tanpa henti memperjuangkan nasib Palestin di setiap forum antarabangsa,” kata beliau.

Selain Palestin, Perdana Menteri turut menekankan bahawa Syria berpotensi menjadi model bagi usaha perdamaian dan rujukan, menggesa dunia Islam untuk sama-sama menggambarkan masa depan mereka.

“Tanda-tanda awal penyesuaian dan usaha membina keamanan di Syria bukan sahaja membawa harapan kepada rakyatnya, tetapi juga peluang bagi seluruh ummah.

“Syria berpotensi menjadi model rujukan yang melangkaui perpecahan politik dan mazhab,” kata beliau.

Persidangan ini dianjurkan bersama oleh Al Azhar Al Sharif, Majlis Tertinggi Hal Ehwal Islam (SCIA) Bahrain dan Muslim Council of Elders, sebagai kesinambungan usaha yang dimulakan semasa Forum Dialog Bahrain pada November 2022.

Menurut Agensi Berita Bahrain, inisiatif yang dipelopori oleh Imam Besar itu bertujuan memperkukuh perpaduan Islam dan memperdalam dialog dalam kalangan sarjana Islam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan