AM > BERITA

KPM Pantau Penjaja Di Luar Premis Sekolah - KP Pendidikan

21/02/2025 02:49 PM

PUTRAJAYA, 21 Feb (Bernama) -- Isu penjaja di luar kawasan sekolah akan dipantau ketat oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bagi menjamin keselamatan murid, kata Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan.

Beliau berkata JPN dan pihak sekolah juga sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan agar penjualan dalam radius 40 meter dari pagar sekolah tidak berlaku.

 Azman berkata pada masa sama, Kementerian Pendidikan telah mengambil langkah sewajarnya termasuk memberi kesedaran kepada murid dan ibu bapa berkaitan membeli makanan di tempat yang betul.

Kesedaran itu, katanya penting supaya insiden kanak-kanak lelaki meninggal dunia selepas didakwa tercekik gula-gula jenis gummy tidak berulang.

“KPM melihat ini (insiden) sebagai keutamaan agar perkara sedemikian tidak berulang," katanya kepada pemberita selepas majlis amanat sempena pembukaan sesi persekolahan 2025/2026 di sini hari ini.

Beliau berkata kantin sekolah di bawah seliaan KPM tidak menjual makanan seperti gula-gula gummy, malah gula-gula itu tidak boleh dijual seperti yang diwartakan Kementerian Kesihatan (KKM).

Malam tadi, Mohammad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, meninggal dunia kira-kira 11 malam di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Pulau Pinang selepas didakwa tercekik gula-gula gummy pada Selasa lepas.

Murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan Sungai Dua, Butterworth itu dipercayai membeli dua biji gula-gula terbabit sebelum sesi persekolahan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) pada 2.30 petang.

Dalam perkembangan lain, Azman berkata KPM setakat ini tidak menerima maklumat daripada KKM berhubung keperluan pencegahan susulan wabak kusta di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, beliau berkata isu berkaitan wabak penyakit berjangkit dipandang serius dan sentiasa bersedia bersama KKM dalam aspek pencegahan sekiranya perlu.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan