KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memulakan prosiding tertutup berhubung Peningkatan Bayaran Premium Insurans Kesihatan, Caj Hospital Swasta dan Impak Kepada Kesihatan Awam pada 24 Februari ini.
Laporan tersebut dijangka dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat, Jun ini.
Naib Pengerusi PAC Teresa Kok berkata sebanyak 10 prosiding telah dijadualkan untuk isu tersebut yang membabitkan Kementerian Kewangan (MoF), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Bank Negara Malaysia (BNM).
“Jawatankuasa ini akan memanggil semua pihak berkepentingan dalam industri insurans kesihatan, hospital swasta, MoF, KKM, BNM, pertubuhan bukan kerajaan dan ahli-ahli akademik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Sesi Pendengaran Awam PAC bagi prosiding Peningkatan Bayaran Premium Insurans Kesihatan, Caj Hospital Swasta dan Impak Kepada Kesihatan Awam di Parlimen, hari ini.
Ini merupakan sesi pendengaran awam PAC kali kedua dengan jumlah kehadiran 550 orang, selepas kali pertama diadakan di Pulau Pinang pada 14 Feb lepas, menjadikan jumlah keseluruhan 730 orang bagi kedua-dua sesi tersebut.
Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh berkata PAC membuat keputusan untuk mengadakan sesi pendengaran awam buat kali pertama dalam sejarah jawatankuasa berkenaan bagi mendengar sendiri maklum balas daripada rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga yang tidak terkawal oleh hospital swasta dan pihak insurans.
“Kenaikan berkenaan juga memberi kesan kepada kesihatan awam apabila klinik dan hospital kerajaan menjadi pilihan kerana orang ramai tidak lagi mampu pergi ke hospital swasta selain membatalkan langganan insurans perbuatan berikutan kenaikan harga premium itu,” katanya.
Justeru, beliau berkata semua keterangan yang diperoleh daripada sesi pendengaran awam berkenaan akan dimasukkan dalam Penyata PAC yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat.
Sementara itu, Ahli PAC Sim Tze Tzin berkata pihaknya berharap laporan yang dijangka dibentang di Dewan Rakyat boleh membantu kerajaan membuat polisi atau dasar yang membantu rakyat.
“Kita akan kaji semua prosiding dan akan buat cadangan, syor-syor kepada kerajaan untuk penyelesaian yang komprehensif kepada masalah ini.
“Jadi cadangan dan syor perlu dikeluarkan dahulu, barulah agensi kerajaan boleh mula buat kerja untuk draf undang-undang yang baharu," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru berkata antara isu-isu yang diutarakan dalam sesi pendengaran awam itu ialah caj hospital swasta yang tinggi serta kenaikan kos ubat-ubatan dan peralatan hospital yang mempengaruhi peningkatan bayaran premium insurans secara mendadak.
Selain itu, sesi pendengaran awam berkenaan turut menyuarakan tentang perbezaan caj hospital yang dikenakan terhadap pesakit apabila membuat tuntutan insurans atau pembayaran secara tunai.
“Jadi saya nampak bahawa ada keperluan untuk kita memperbaharui ekosistem ini. Kita berharap untuk menyelesaikan semua prosiding dalam tempoh tiga bulan,” katanya.
Sesi pendengaran awam hari ini dikendalikan Kok bersama Sim dan juga beberapa Ahli Parlimen lain iaitu Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof, Ahli Parlimen Betong Datuk Dr Richard Rapu @ Aman anak Begri, Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail dan Ahli Parlimen Kapar Dr Halimah Ali.
Pada Disember lepas, BNM meminta semua syarikat insurans dan takaful yang menawarkan produk insurans/takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) melaksanakan pelarasan premium secara pengagihan sekurang-kurangnya selama tiga tahun sehingga akhir 2026.
Langkah itu bagi mengurangkan bebanan terhadap pemegang polisi yang mengalami peningkatan kenaikan premium.
Bulan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak akan bertolak ansur sekiranya premium insurans kesihatan dinaikkan tanpa alasan munasabah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial