AM > BERITA

Bahas Titah Diraja Selesai, Penggulungan 15 Kementerian Tumpuan Minggu Ketiga Dewan Rakyat

21/02/2025 03:33 PM

KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Persidangan Dewan Rakyat minggu ini menyaksikan 15 kementerian selesai menjawab perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada sesi penggulungan yang bermula pada Rabu (19 Feb).

Ia melibatkan Kementerian Kewangan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Ekonomi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Luar.

Selain itu, Kementerian Kerja Raya; Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Kementerian Pertahanan; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Perpaduan Negara.

Sesi penggulungan itu diadakan selepas 157 Ahli Parlimen menamatkan sesi perbahasan usul berkenaan yang berlangsung selama tujuh hari dan berakhir pada Selasa (18 Feb).

Antara mencuri tumpuan minggu ini ialah sesi penggulungan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu yang menyatakan usaha penambahbaikan industri beras dan padi dijangka dapat dilaksanakan secara menyeluruh dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Beliau berkata kementerian itu sedang melaksanakan usaha reformasi industri padi dan beras dengan bersungguh-sungguh termasuk melakukan Kajian Industri Padi dan Beras di Malaysia yang telah diselesaikan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC).

Selain itu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menggulung perbahasan usul itu bagi Kementerian Luar berkata Malaysia sedang berusaha untuk mengadakan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) sama ada di Malaysia atau AS.

Beliau berkata perkara itu telah dipersetujui pada peringkat Menteri-Menteri Luar ASEAN bagi memastikan ASEAN tidak dilihat condong ke mana-mana negara.

Turut mendapat perhatian minggu ini ialah sesi penerangan berhubung aktiviti petroleum di Sarawak melibatkan Petronas dan Petros (Petroleum Sarawak Berhad) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak memperakui aspirasi Sarawak yang berhasrat menceburi kegiatan industri minyak di negeri berkenaan.

Beliau berkata hasrat itu dipaparkan menerusi Ordinan Pengagihan Gas 2016 (Pindaan) (DGO) dan berkuat kuasa pada 1 Mac 2025. 

Pada sesi penerangan menteri mengenai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) pula, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata terdapat ruang penambahbaikan bagi akta itu bagi mengimbangi keperluan keselamatan negara dengan hak asasi individu.

Susulan itu, beliau berkata Kementerian Dalam Negeri merumuskan tiga hala tuju untuk membuat penambahbaikan terhadap SOSMA, termasuk mengkaji keperluan untuk mewujudkan Mahkamah Khas SOSMA sama seperti Mahkamah Khas Rasuah dan Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-Kanak.

Sementara itu, persidangan Dewan Rakyat minggu ini juga menyaksikan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Yayasan Tunku Abdul Rahman (Pindaan) 2025 dibentang bagi bacaan kali pertama. 

Rang undang-undang untuk meminda Akta Kumpulan Wang Yayasan Tunku Abdul Rahman 1966 [Akta 389] itu antara lain bertujuan untuk meminda Seksyen 2 Akta 389 untuk menggantikan takrif “Menteri” dengan takrif baharu bagi menggambarkan bahawa Menteri yang disebut dalam akta itu ertinya Menteri yang dipertanggungjawab bagi Kumpulan Wang Yayasan Tunku Abdul Rahman.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin depan dengan 13 lagi kementerian termasuk Jabatan Perdana Menteri dijadual menjawab perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja yang berlangsung selama dua hari.

Selepas itu, persidangan akan diteruskan dengan pembentangan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain hingga 6 Mac.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan