AM > BERITA

Lima Sistem Digital AgTech Diperkenal Bagi Sektor Akuakultur Di Sarawak - Wilson Ugak

21/02/2025 04:30 PM

KAPIT, 21 Feb (Bernama) -- Lima sistem pertanian digital berteraskan kecerdasan buatan (AI) bernilai RM150,000 akan diperkenalkan untuk manfaat sektor akuakultur di Sarawak tahun ini, kata Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong.

Beliau berkata sistem menerusi inisiatif Teknologi Pertanian Digital Malaysia (Digital AgTech) itu merupakan kesinambungan daripada 20 sistem yang telah dilaksanakan di seluruh negeri ini tahun lepas.

“Keseluruhannya lebih 600 sistem Digital AgTech telah dilaksanakan di seluruh negara pada 2024 dan memanfaatkan 30,000 usahawan tani yang menerima latihan digitalisasi bagi meningkatkan kemahiran mereka dalam menggunakan teknologi Internet Kebendaan (IoT) dan AI dalam operasi harian.

"Sektor pertanian sering dikaitkan dengan pekerjaan yang kotor, bahaya dan sukar. Namun, dengan penggunaan teknologi moden seperti IoT, Analisis Data Raya (BDA) dan AI, sektor pertanian dapat ditingkatkan ke tahap lebih produktif dan efisien," katanya semasa melancarkan Jelajah Malaysia Digital (JMD) @ Kapit di Kapit Town Square di sini hari ini. 

Beliau juga menekankan kepentingan penggunaan teknologi digital dalam kalangan petani untuk meningkatkan kecekapan dan produktiviti mereka, selain mampu menarik minat golongan muda untuk menceburi bidang pertanian.

Ugak berkata program JMD @ Kapit adalah inisiatif Kementerian Digital dengan sokongan agensi-agensi berkaitan untuk memperkasakan masyarakat dengan teknologi digital dan merupakan usaha berterusan kerajaan dalam merancakkan ekosistem digital di seluruh negara.

Program ini turut dijayakan dengan kerjasama Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED), Kementerian Kesihatan (KKM), serta pelbagai jabatan dan agensi di Kapit.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan