KUALA LUMPUR, 21 Feb (Bernama) -- Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2025 menggariskan komitmen negara yang tidak berbelah bahagi dalam pembangunan ekosistem inovasi yang dinamik dan berdaya saing, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal.
Beliau berkata ekspo yang menghimpunkan peserta dari 12 negara dan 86 pempamer di Pusat Dagangan Dunia di sini, dari 20 hingga 22 Feb itu telah berkembang menjadi mercu tanda inovasi, berfungsi sebagai platform yang membentuk idea, pemeteraian kerjasama, dan pembentukan teknologi masa depan.
“Hari ini, kami bukan sekadar meraikan inovasi, kami turut menerima keupayaan transformatif sains dan teknologi dalam menangani beberapa cabaran global yang paling mendesak pada zaman ini. Di sinilah benih-benih idea baharu disemai dan berkembang menjadi penyelesaian yang mentakrifkan semula industri dan meningkatkan kualiti kehidupan.
“Landskap inovasi Malaysia sangat dinamik, dipacu oleh gabungan sokongan kerajaan, pelaburan sektor swasta, dan bakat luar biasa dalam kalangan penyelidik, usahawan dan inovator kami,” katanya dalam ucapan perasmian ekspo berkenaan hari ini.
Turut hadir Pengerusi Anugerah Inovasi Antarabangsa MTE 2025 Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman, yang juga Naib Canselor Universiti Malaya.
Mohammad Yusof turut menekankan kemunculan Malaysia sebagai hab pusat data utama di rantau Asia Tenggara, didorong oleh pelaburan infrastruktur strategik, dasar pandang ke hadapan dan komitmen kukuh terhadap kemampanan.
“Contohnya Johor, kedudukan strategik berhampiran Singapura dan keluasan tanah menjadi tumpuan utama syarikat gergasi seperti Microsoft, AWS, Google dan Oracle.
“Tumpuan seterusnya ialah kita berada di landasan tepat untuk menjadi hab kecerdasan buatan (AI) serantau. Menyedari potensi besar AI, kerajaan membuat pelaburan berani untuk meletakkan Malaysia sebagai hab AI serantau. Dengan peruntukan RM10 juta untuk Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) dan RM50 juta khusus untuk pendidikan AI dalam Belanjawan 2025, di samping Dana Pelaburan Strategik RM1 bilion, kita memupuk ekosistem AI yang teguh,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak (MUDeNR) sedang mempamerkan Sistem Kuasa Perancangan Negeri Elektronik (Sistem eSPA), yang bertujuan mendigitalkan perkhidmatan perancangan bandar di negeri berkenaan.
Pegawai Perancang MUDeNR Al-Haziq Abdul Sallam berkata kementerian itu mengambil langkah signifikan ke arah inisiatif berkenaan dan menghargai peluang untuk memperkenalkan sistem itu di MTE 2025.
“Kami telah melalui banyak proses dalam kementerian, dan kini kami berjaya menyertai MTE untuk menunjukkan dan mempamerkan produk kami. MTE sangat mengagumkan, kerana terdapat banyak produk dan inovasi hebat. Banyak perkara boleh dikongsi bersama agensi lain.
“Saya juga mendapat tahu kebanyakan penyertaan datang dari Sarawak, dan produk mereka sangat menarik untuk diteroka,” katanya kepada Bernama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial