AM > BERITA

Sunway Theme Parks Pertingkat Program Explorer Rangers Menerusi Kerjasama Strategik

23/02/2025 02:04 PM

PETALING JAYA, 23 Feb (Bernama) -- Sunway Theme Parks telah menandatangani Memorandum Perkongsian (MoP) bagi program Explorer Rangers, bekerjasama dengan peneraju industri utama untuk menyediakan pembelajaran secara pengalaman serta memperkasakan golongan muda.

Program itu bukan sahaja melengkapkan kanak-kanak dengan kemahiran penting untuk masa hadapan, tetapi juga mengajar amalan kelestarian melalui rakan strategiknya.

Pengarah Eksekutif Sunway Theme Parks Calvin Ho berkata inisiatif itu bertujuan menggabungkan pengetahuan industri dengan pengalaman pembelajaran secara langsung, memberikan peserta muda kemahiran penting dan pendedahan kepada dunia sebenar.

Explorer Rangers, satu program pendidikan yang mengajar kanak-kanak tentang haiwan, zoo dan yang paling penting, habitatnya. Ia antara komitmen kami terhadap komuniti dan pendidikan di bawah rangka kerja ESG.

“Kami juga mahu mereka dilengkapi dengan kemahiran penting lain seperti keselamatan, pencegahan kebakaran dan tindak balas kecemasan. Di sinilah peranan rakan kongsi utama kami,” katanya selepas majlis menandatangani MoP itu di sini.

Perkongsian ini mengumpulkan organisasi utama termasuk RHB Bank Berhad, Sunway University, Sunway X-Farms, Sunway Medical Centre, Farm Fresh Malaysia, POS Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Fakulti Seni Kreatif Universiti Malaya.

Sebagai tambahan, program itu yang sebelum ini lebih tertumpu kepada peserta muda, kini diperluaskan kepada golongan berusia 13 hingga 17 tahun, dengan matlamat menginspirasi generasi pemimpin baharu.

“Satu daripada kisah paling inspirasi yang kami ada ialah seorang bekas junior ranger. Dia menyertai kami pada usia 7 tahun dan melalui pengalaman awal dalam program ini, dia membangunkan minat mendalam terhadap haiwan.

“Kini, dia merupakan seorang doktor haiwan profesional di Sunway Wildlife Park. Perkara ini benar-benar menunjukkan kesan jangka panjang terhadap program ini dan bagaimana ia boleh membentuk masa depan seorang kanak-kanak,” katanya.

Ho berkata Sunway Theme Parks akan memberikan keahlian percuma kepada kanak-kanak, terutamanya daripada komuniti B40, bagi memastikan akses pembelajaran yang sama rata untuk semua.

Ho berkata  program itu bukan sekadar untuk menarik pengunjug, tetapi mengenai membentuk pemimpin masa depan yang prihatin terhadap alam sekitar dan kelestarian Malaysia.

Susulan pelancaran program Explorer Rangers, Sunway Theme Parks meneruskan komitmennya dalam meningkatkan pengalaman pengunjung dengan mengumumkan kerjasama baharu dengan Tiny Hong Kong.

Kerjasama ini dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) antara Sunway dan Steven Ng iaitu pengasas serta pengarah Toyeast Holdings Limited dan TINY.

Ho berkata bahawa kerjasama ini akan memperkenalkan barangan koleksi eksklusif dan berkualiti tinggi yang meraikan warisan budaya Malaysia.

“Mainan daripada Tiny Hong Kong bukan sekadar untuk bermain, ia mengandungi elemen budaya yang menjadikannya istimewa. Kualitinya sangat luar biasa, dengan perhatian terperinci yang tinggi. Sebagai contoh, bayangkan jika kita mempunyai koleksi kereta, bas dan tren tempatan kita sendiri.

“Ia bukan sekadar mainan, tetapi menjadi sebahagian daripada nostalgia dan koleksi yang nilainya meningkat dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, Steven menyatakan keterujaannya untuk bekerjasama dengan Sunway Lagoon, dengan menekankan bahawa kedua-dua jenama berkongsi visi yang sama dalam meraikan warisan budaya.

“Kerjasama ini mencerminkan visi bersama kami untuk menghasilkan cenderahati dan mainan bertemakan Malaysia yang berkualiti tinggi, menyampaikan kisah indah Hong Kong dan Malaysia, serta memastikan setiap pengunjung dapat merasai kegembiraan dan penghargaan,” katanya.

Sunway Theme Parks juga telah menandatangani MoU dengan Klook bagi memperkenalkan kaunter khas dan pintu masuk ekspres, yang memastikan kemasukan lebih lancar serta meningkatkan kemudahan melalui teknologi, mengukuhkan lagi komitmen terhadap inovasi dan kepuasan pengunjung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan