AM > BERITA

MLFF: KKR Sediakan Kertas Jemaah Menteri Selepas Libat Urus Selesai

24/02/2025 12:56 PM

PUTRAJAYA, 24 Feb (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) akan menyediakan Kertas Jemaah Menteri mengenai pelaksanaan Projek Sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) selepas proses libat urus dengan agensi berkaitan selesai. 

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata buat masa ini, proses libat urus dengan agensi berkaitan sedang berlangsung dan KKR mahu setiap sudut pelaksanaan MLFF dapat dijalankan dengan baik.

“Kita masih di peringkat libat urus dengan agensi-agensi lain di kerajaan. Selepas selesai (libat urus itu) kemungkinan kita sediakan kertas Jemaah Menteri.

“Sebelum itu, kita selesaikan dulu ada isu-isu berkaitan bersama agensi-agensi lain seperti manaJabatan Peguam Negara dan sebagainya untuk semua sudut ini kita boleh pastikan yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengurusan Aset Menyeluruh 2025 di sini hari ini.

Nanta berkata semua pihak yang terlibat komited dalam melaksanakan MLFF namun ia tertakluk kepada perkara yang akan diputuskan kelak.

“Kami di peringkat kementerian boleh buat segera tetapi kita perlu terima apa yang diputuskan dalam rundingan ataupun yang perlu kita bincang dengan agensi lain.

“Kami difahamkan agensi lain pun ada keperluan segera dalam perkara ini. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tekankan tentang keperluan segera bila buat kerja,” katanya.

Pada 18 Feb lepas, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan KKR dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaksanakan analisis kos faedah lebih terperinci berhubung pelaksanaan MLFF.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata pihaknya berpendapat pelaksanaan MLFF tidak akan menyelesaikan kesesakan lalu lintas di lebuh raya bertol secara total.

Susulan itu, Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata MLFF yang akan dilaksanakan oleh PLUS Malaysia Bhd adalah atas usaha persendirian syarikat konsesi itu. 

Dalam perkembangan lain, Nanta dalam ucapan perasmian menggesa semua pemegang taruh KKR dan agensinya menjadikan pengurusan aset negara sebagai yang terbaik di dunia dengan mencapai World Class Asset Management for Malaysia by the year 2027.

“Cabaran ini sejajar dengan amanat Tahun Baharu Perdana Menteri 2025 yang menyeru agar pegawai kerajaan, prosedur kerja dan sistem penyampaian sentiasa dipelihara dan ditambah baik selaras dengan prinsip Striving For Excellence,” katanya. 

Beliau berkata KKR selaku peneraju pembangunan infrastruktur dan industri pembinaan negara terus komited untuk merealisasikan visi kerajaan MADANI dalam memperkasa pembangunan infrastruktur dan pengurusan aset negara menyeluruh melalui perluasan inisiatif pendigitalan.

“KKR giat melaksanakan dua projek pendigitalan penting iaitu kedua-duanya merupakan enablers kepada Pengurusan Aset Bertaraf Dunia.

“Platform Maklumat Pembinaan Kebangsaan (NCIP) dan MYInfra jika siap kelak membolehkan pengurusan aset yang lebih efektif merangkumi penyediaan belanjawan, penilaian aset, operasi dan penyenggaraan serta pengurusan pemegang taruh dan pelanggan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan