AM > BERITA

RUU Pindaan Perlembagaan, Perkhidmatan Parlimen Dibentang Bagi Bacaan Kali Pertama

24/02/2025 03:23 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 bertujuan mereformasi institusi dan penambahbaikan terhadap institusi demokrasi utama negara iaitu Parlimen, dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said yang membentangkan RUU itu berkata bacaan kedua bagi kedua-dua rang undang-undang berkenaan akan dibuat pada sidang kali ini.

RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan antaranya meminda Perkara 56 dan Perkara 57 dengan memasukkan Fasal baharu (5A).

Fasal itu menyatakan seseorang yang dipilih menjadi Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat atau Timbalan Yang Dipertua tidak hilang kelayakan memegang jawatan itu oleh sebab keahliannya dalam Majlis Perkhidmatan Parlimen yang ditubuhkan di bawah undang-undang Persekutuan, dengan syarat ahli yang dipilih berkenaan tidak menerima apa-apa saraan, hadiah, untung atau faedah daripadanya.

RUU itu juga bertujuan meminda Perkara 65 Perlembagaan Persekutuan untuk mengadakan peruntukan bagi pelantikan Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat oleh Yang di-Pertuan Agong yang boleh dilantik dalam kalangan atau bukan anggota perkhidmatan awam am Persekutuan.

Sementara itu, RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 antara lain bertujuan menubuhkan Perkhidmatan Parlimen yang menjadi suatu perkhidmatan berasingan daripada perkhidmatan awam.

Ia juga memperuntukkan penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen yang berfungsi antaranya melantik dan menentukan terma dan syarat pelantikan anggota Perkhidmatan Parlimen, mengawasi semua perkara kewangan berhubungan Perkhidmatan Parlimen dan membangunkan serta melaksanakan program dan latihan berhubungan dengan Perkhidmatan Parlimen.

Menerusi RUU itu, kerajaan hendaklah mengadakan dana mencukupi bagi Perkhidmatan Parlimen setiap tahun untuk membolehkan Majlis Perkhidmatan Parlimen melaksanakan fungsinya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan