AM > BERITA

Kadar Zakat Fitrah Di Selangor RM7, RM15 Dan RM22

24/02/2025 04:53 PM

SHAH ALAM, 24 Feb (Bernama) -- Kadar zakat fitrah di Selangor bagi Ramadan tahun ini ditetapkan pada RM7, RM15 dan RM22 seorang, mengikut jenis serta gred beras yang dimakan.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan penetapan itu berdasarkan harga beras mengikut gred dan jenis dimakan kebanyakan orang Islam di Selangor, pada kadar timbangan satu gantang bersamaan 2.6 kilogram.

“Kadar zakat fitrah RM7 seorang ditetapkan untuk pengguna beras putih tempatan dan beras putih import dan ia merupakan kadar minimum wajib seperti diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

“Kadar RM15 pula bagi pengguna beras perang, beras pulut, beras merah dan beras wangi, manakala RM22 untuk mereka yang menjadikan beras herba ponni, beras basmati dan beras Jepun sebagai makanan ruji,” menurut kenyataan itu. 

Bagi memudahkan pembayaran, LZS memperkenalkan kupon fitrah berwarna mengikut kadar ditetapkan iaitu hijau mewakili kadar RM7, merah (RM15) dan jingga (RM22).

LZS berkata sebanyak 2,836 Penolong Amil Fitrah (PAF) dilantik bagi melancarkan urusan kutipan zakat fitrah tahun ini.

Pembayaran juga boleh dilakukan melalui 18 Penolong Amil di institusi pengajian tinggi (IPT) dan 97 maahad tahfiz serta sekolah agama swasta di Selangor, dengan orang ramai diingatkan untuk menunaikan ibadah berkenaan kepada PAF bertauliah dan dilantik LZS. 

LZS menggalakkan umat Islam di Selangor membayar zakat fitrah lebih awal bagi memudahkan agihan kepada golongan memerlukan, selain menyarankan mereka yang memenuhi syarat supaya turut menunaikan zakat pendapatan, zakat emas, zakat perniagaan dan sebagainya.

“LZS menyediakan pelbagai platform pembayaran dalam talian sebagai saluran alternatif kepada masyarakat Islam antaraya melalui EZakatPay dengan melayari https://fpx.zakatselangor.com.my, perbankan internet, portal MyEg, Pos Online serta aplikasi e-dompet GoPayz dan Boost,” menurut kenyataan itu.

LZS juga memaklumkan 19 cawangan agensi itu di seluruh Selangor beroperasi setiap hari termasuk pada cuti umum sepanjang Ramadan bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada hari bekerja dan 9 pagi hingga 3 petang pada hujung minggu serta cuti umum.

-- BERNAMA


                                         
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan