AM > BERITA

Bacaan Kedua RUU Majlis Media Malaysia Dibentangkan Di Dewan Rakyat Rabu Ini

24/02/2025 06:47 PM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia yang merupakan hasil usaha dan kerjasama erat antara kerajaan dan wakil industri media, akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat, Rabu ini.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata sesi perbincangan antara Kementerian Komunikasi dan Jawatankuasa Protem Majlis Media Malaysia telah giat dijalankan secara berkala sejak awal 2023. 

Beliau berkata Jawatankuasa Protem itu merangkumi 40 wakil daripada persatuan media, pengamal media, pengamal media bebas, ahli akademik dan syarikat media seperti Malaysiakini, Astro Awani, The Star, Berita Harian, Sinar Harian, Makkal Osai, Malaysian Nanban, Persatuan Tamil Media Malaysia, China Press dan Sin Chew Daily.

"Hasilnya, Rang Undang-Undang ini dapat digubal bersesuaian dengan hasrat industri media untuk menubuhkan sebuah badan yang akan memperkukuh tadbir urus media di Malaysia.

“Ini adalah komitmen kerajaan dalam menjamin kebebasan media," katanya ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat hari ini.

RUU itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada 12 Dis 2024, dengan tujuan antara lain menubuhkan badan kawal selia kendiri demi menjaga kepentingan media dan pengamal media.

Sementara itu, Fahmi berkata sehingga semalam (23 Feb), Chatbot Artificial Intelligence Fact-check Assistant (AIFA) telah menerima dan memproses 57,782 mesej dengan purata 2,140 mesej setiap hari.

"Antara yang sering ditanya adalah bantuan kerajaan, isu COVID-19 yang didakwa berlaku di Bukit Mahkota, dakwaan Israel bakal jadikan Malaysia destinasi pengecualian visa, isu kenaikan tarif elektrik serta isu Mpox di Singapura," katanya.

AIFA dibangunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang berperanan membantu rakyat menyemak serta mendapatkan maklumat sahih dengan cepat dan mudah serta mempercepatkan maklum balas terhadap maklumat tidak sahih dalam talian.

Selain itu, Fahmi berkata 5,026 laman sesawang judi telah disekat dengan kerjasama penyedia perkhidmatan internet dari 2022 hingga 1 Feb tahun ini serta 224,403 kandungan perjudian di platform media sosial telah diturunkan dalam tempoh sama.

“Dari jumlah tersebut, tiga yang teratas adalah Facebook dengan 93.13 peratus, Youtube 3.5 peratus dan Instagram 2.48 peratus.

“Tindakan penurunan kandungan media sosial dan sekatan laman sesawang ini adalah berdasarkan makluman MCMC yang dibuat berasaskan permohonan rasmi agensi penguatkuasaan serta maklumat dan aduan orang ramai yang diterima MCMC,” katanya.

Menurut Fahmi, dalam tempoh sama, MCMC juga telah menyekat 316 laman sesawang berunsur pelacuran manakala 2,315 kandungan di pelbagai platform media sosial telah dikenakan tindakan penurunan. 

Fahmi berkata penurunan kandungan yang tertinggi melibatkan platform Facebook iaitu 44.5 peratus, diikuti oleh TikTok (33.39 peratus) dan Telegram (20.13 peratus).

Tindakan penurunan kandungan media sosial dan sekatan laman sesawang ini dilakukan terhadap kandungan yang melanggar undang-undang berdasarkan permohonan rasmi agensi penguatkuasaan serta maklumat dan aduan orang ramai yang diterima MCMC, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan