AM > BERITA

Kerajaan Persekutuan, Sabah Komited Sambung Semula Perkhidmatan Feri Labuan-KK - Dr Zaliha

25/02/2025 11:29 AM

LABUAN, 25 Feb (Bernama) -- Perkhidmatan feri ekspres Labuan-Kota Kinabalu yang dicadangkan untuk disambung semula dijangka mencapai penyelesaian dalam masa terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata kerajaan Persekutuan, melalui Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) bersama Kerajaan Sabah telah menegaskan komitmen mereka untuk menyelesaikan isu itu dalam satu perbincangan secara bersemuka pada Isnin (24 Feb).

Zaliha berkata perbincangan tersebut mencerminkan kerjasama yang semakin kukuh antara kerajaan Persekutuan dan negeri.

“Antara perkara utama yang dibincangkan ialah perkhidmatan feri ekspres antara Labuan dan Kota Kinabalu…Perkhidmatan ini bukan sahaja penting sebagai satu lagi laluan pengangkutan utama, tetapi juga berperanan besar dalam merancakkan ekonomi kedua-dua wilayah.

“Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor menyambut baik cadangan itu dan kedua-dua pihak komited untuk menyelesaikan isu ini dengan segera bagi memastikan perkhidmatan tersebut dapat disambung semula demi kepentingan orang ramai,” katanya kepada Bernama hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah JWP Datuk Noridah Abdul Rahim, Pengerusi Perbadanan Labuan (LC) Senator Tan Sri Anifah Aman, Ketua Pegawai Eksekutif LC Mohd Sukuran Taib, serta pegawai-pegawai JWP yang lain.

Sebelum ini, Dr Zaliha mengumumkan bahawa perkhidmatan feri tersebut yang terhenti selama tiga tahun dijadualkan disambung semula pada 15 Dis tahun lepas, namun masalah teknikal telah menyebabkannya tertangguh.

Feri ini, yang dahulunya merupakan pilihan perjalanan popular menghentikan operasi akibat penurunan jumlah penumpang semasa pandemik COVID-19.

Dr Zaliha menegaskan bahawa pemulihan perkhidmatan ini amat penting untuk menangani cabaran aksesibiliti Labuan yang telah lama berlarutan, di samping merancakkan semula sektor pelancongan.

“Perkhidmatan ini bukan sahaja penting untuk komuniti setempat, tetapi juga bagi menarik pelancong dan meningkatkan aktiviti ekonomi di Labuan dan Sabah,” katanya.

Beliau berkata peningkatan perhubungan ini dijangka merancakkan pertumbuhan pelancongan, dengan potensi tawaran pakej yang menggabungkan pengalaman perjalanan ke kedua-dua destinasi.

“Memandangkan Terminal Feri Antarabangsa Labuan telah bersedia untuk menampung peningkatan jumlah penumpang, kami sedang berusaha dengan pantas untuk menyelesaikan sebarang isu yang masih tertangguh dan mempercepatkan penyambungan semula perkhidmatan ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan