AM > BERITA

Bakat ATM Sediakan 15,000 Beg Raya Kepada Tentera Bertugas Semasa Aidilfitri

25/02/2025 03:26 PM

KUALA LUMPUR, 25 Feb (Bernama) -- Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meneruskan tradisi pemberian barangan keperluan hari raya kepada anggota yang bertugas pada Aidilfitri dengan 15,000 beg disediakan tahun ini.

Pengerusi Jemaah Tertinggi Bakat ATM Datin Risia Sheikh Ali Omar Bajarai berkata ahli badan itu dengan kerjasama Bahagian Perkhidmatan Anggota ATM membuat persiapan mengumpulkan barangan bermula September lepas manakala proses pembungkusan dilakukan sejak awal tahun ini. 

“Ini merupakan acara tahunan yang telah dilaksanakan sejak lebih 30 tahun lepas. Kami bergotong-royong menyediakan kuih raya serta barangan lain untuk diberikan kepada anggota yang bertugas pada hari raya nanti.

“Selain kuih raya, terdapat juga barangan sumbangan syarikat swasta sebagai tanda keprihatinan terhadap pengorbanan anggota ATM yang berkhidmat untuk negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Aktiviti Pembungkusan Barangan Hari Raya Aidilfitri di Rumah Bakat ATM di Kementerian Pertahanan, di sini hari ini. 

Hadir sama Timbalan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Bahagian Perkhidmatan Anggota Markas ATM Brig Jen Hamdan Ahmad.

Risia yang juga isteri kepada Panglima ATM Jen Datuk Mohd Nizam Jaffar berkata majlis penyerahan rasmi beg-beg berkenaan dijadualkan berlangsung pada 20 Mac ini dengan disempurnakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata selain kuih raya, bungkusan itu juga mengandungi barangan hasil sumbangan syarikat dan organisasi seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Koperasi Angkatan Tentera Malaysia dan Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan